Anthony Loke.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menegaskan peletakan jawatannya daripada Kabinet akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Najib Razak tiba di kediamannya untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Loke berkata, pendiriannya tidak berubah dan sudah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha (KSU) serta pegawai Kementerian Pengangkutan.
“Pendirian saya tidak berubah. Sebaik sahaja Najib Razak sampai di rumah, bermaksud saya akan meletakkan jawatan,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Najib singgah di sebuah klinik pergigian untuk menjalani pemeriksaan sebelum pulang ke kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.
“Kalau malam ini dia jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Jika esok, esoklah,” katanya.
Loke sebelum ini mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 28 September lalu, susulan keputusan DAP membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada September lalu, sebagai tanda parti itu tidak bersetuju dengan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Presiden UMNO berkenaan menjalani baki hukumannya di rumah.
DAP bagaimanapun memutuskan menteri dan timbalan menteri daripada parti itu yang lain akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Isu berkenaan mencetuskan perdebatan politik dan reaksi pelbagai pihak, khususnya berkaitan pelaksanaan keputusan pengampunan terhadap Najib yang sebelum ini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International. Hukuman itu kemudian dikurangkan menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Pada Jumaat, Najib dilaporkan menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat berkenaan.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumahnya berdepan perkembangan lanjut apabila pihak berkuasa memaklumkan pemindahan itu perlu ditangguhkan sementara semakan undang-undang dibuat terhadap asas pelaksanaannya.
Loke sebelum ini menjelaskan keputusan untuk melepaskan jawatan dibuat bagi menegaskan pendirian DAP terhadap isu berkenaan, walaupun beliau diminta meneruskan tugas buat sementara waktu.
Peletakan jawatan itu dijangka membuka persoalan mengenai pengganti beliau serta hala tuju kepimpinan Kementerian Pengangkutan, ketika beberapa projek pengangkutan utama negara sedang memasuki fasa pelaksanaan.
Manifesto BN-PN: Air percuma, rumah mampu milik jadi taruhan di Melaka
Tiada kerjasama rasmi Bersatu-PH, sokongan tetap dialu-alukan: Muhyiddin
UMNO bayar denda Najib boleh beri gambaran salah kepada rakyat: PMX
PRN Melaka: Isu kemudahan asas Machap Jaya jadi fokus Ginie jika menang
UMNO tutup kutipan derma Najib, selesai pembayaran di mahkamah pagi ini
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum