Najib Razak terlibat dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB.
Pihak pendakwaan hari ini menegaskan Najib Razak bukanlah mangsa, sebaliknya merupakan ‘arkitek’ utama di sebalik penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, berhujah keseluruhan keterangan menunjukkan bekas perdana menteri itu secara langsung menggunakan individu lain untuk melaksanakan arahan dan kehendaknya bagi kepentingan peribadinya.
“Tertuduh bukan mangsa kepada jenayah orang lain, sebaliknya ‘arkitek’ kepada jenayahnya sendiri, dan kini beliau cuba melepaskan diri daripada akibat perbuatannya sendiri,” kata Ahmad Akram semasa hujahan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Beliau menambah, Najib cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa pegawai bawahannya, sedangkan beliau merupakan individu paling berkuasa dalam pentadbiran kerajaan dan 1MDB pada ketika itu.
“Tertuduh mempunyai kuasa mutlak dari segi eksekutif, kewangan dan politik. Lembaga pengarah, pengurusan dan pegawai 1MDB beroperasi di bawah arahannya,” jelasnya.
Ahmad Akram menegaskan Najib tidak boleh menyalahkan orang bawahan apabila kelulusan, pejabat, dan akaun peribadinya sendiri menjadi pusat kepada segala urus niaga terbabit.
Setiap individu yang disalahkan oleh tertuduh sebenarnya bertindak atas arahannya, sama ada secara langsung atau melalui orang tengahnya, iaitu Jho Low.
“Bukti menunjukkan tertuduh bukan sekadar ‘penyelia’ yang terbabit, tetapi juga pencetus, pengarah dan penerima manfaat terakhir daripada keseluruhan skim ini,” katanya.
Mengukuhkan lagi hujahan, beliau memaklumkan dokumen dan keterangan saksi, termasuk daripada penganalisis Bank Negara Malaysia, menunjukkan aliran sejumlah besar wang ke dalam akaun peribadi Najib.
“Dana ini berpunca daripada syarikat yang dikawal oleh Jho Low, bukan daripada keluarga diraja Arab seperti didakwa,” jelas Ahmad Akram.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, menghujahkan kebergantungan Najib terhadap Jho Low dan surat derma Arab yang tidak disahkan menunjukkan sikap ‘sengaja membutakan mata’.
Sebagai Menteri Kewangan, Najib mempunyai tanggungjawab untuk menyemak sumber dana yang memasuki akaunnya, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.
Prosiding hujahan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung esok.
PRN NS: Anwar harap pengundi kekalkan Aminuddin berdasarkan rekod
PRN N9: PH ikrar teruskan dasar beri manfaat kepada rakyat
Malaysia kekal tegas, tidak tunduk desakan Ahli Kongres AS: Loke
PMX: Kerajaan PH Negeri Sembilan berjaya kembalikan hasil pembangunan kepada rakyat
DUN Jeram Padang: Kebajikan rakyat jadi keutamaan Manivanan
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil