Najib Razak.
Najib Razak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya berkaitan titah adendum, yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan notis rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 24 Disember lalu.
Menurutnya, langkah tersebut diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman berkaitan kewujudan dan kesahihan titah berkenaan.
“Notis rayuan bagi isu titah adendum telah difailkan. Bagi kes 1MDB pula, rayuan akan dikemukakan dalam masa terdekat selepas kami menerima perintah rasmi mahkamah untuk tujuan pengesahan,” katanya dipetik laporan Bernama.
Pada 22 Disember lalu, hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib selepas mendapati titah adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang berlangsung pada 29 Januari 2024.
Berikutan keputusan tersebut, Najib perlu meneruskan baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Namun, petisyen pengampunan diraja yang dikemukakan pada 2 September 2022 menyaksikan tempoh hukuman penjara beliau dipendekkan kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Dalam perkembangan berasingan, pada 26 Disember lalu, Mahkamah Tinggi juga menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani hukuman enam tahun bagi kes SRC International, yang dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Kes ini terus mencuri perhatian ramai, dengan rayuan terbaharu Najib dijangka menjadi satu lagi episod penting dalam perjalanan panjang perundangan melibatkan bekas perdana menteri itu.
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib