Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor buat laporan polis

June 25, 2026 · Politik

Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd. Puad Zarkashi yang mengatakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat atas arahan Istana Johor.

Sebaliknya, Pengerusi UMNO Johor itu menegaskan pembubaran DUN pada 1 Jun lalu dibuat mengikut proses perlembagaan selepas memperoleh perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Menurutnya, dakwaan yang dibuat Mohd. Puad telah memutarbelitkan proses perlembagaan sehingga menimbulkan persepsi bahawa institusi Diraja campur tangan dalam urusan politik negeri.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mohd. Puad Zarkashi. Pembubaran DUN dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran DUN Johor kepada rakyat secara terbuka. Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN sesuka hati kerana tindakan itu perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor sebelum berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Mohd. Puad sebagai tidak bertanggungjawab kerana berpotensi menyentuh isu 3R, khususnya melibatkan institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

“Beliau berhak meninggalkan UMNO dan mempunyai pandangan berbeza dengan kepimpinan parti. Namun kenyataan sedemikian amat serius kerana boleh mewujudkan persepsi salah terhadap institusi Diraja.

“Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.

Mohd. Puad sebelum ini mendakwa pembubaran DUN Johor berlaku atas arahan Istana, susulan ketegangan politik dalam UMNO Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kenyataan itu dibuat selepas beliau mengumumkan keluar daripada UMNO kerana mendakwa tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti di negeri berkenaan.

Johor kini berada dalam tempoh kempen PRN selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lalu, dengan pertandingan dijangka menyaksikan persaingan sengit antara Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

Berita berkaitan
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
June 25, 2026· Politik
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
June 25, 2026· Politik
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
15 jam lalu· Politik
Puad diminta bertenang, Mat Maslan minta fokus bantu hadapi PRN Johor
16 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
16 jam lalu · Politik
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
16 jam lalu · Politik
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
17 jam lalu · Politik
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
18 jam lalu · Politik
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
18 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok