Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES).
Perbelanjaan bulanan isi rumah rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan kepada RM5,566 pada tahun 2024, dengan satu tren menarik iaitu peningkatan ketara dalam perbelanjaan untuk aktiviti makan di restoran dan perkhidmatan penginapan.
Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 17 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah kini diperuntukkan untuk kategori tersebut, menjadikannya antara empat perbelanjaan utama rakyat Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dr. Mohd Uzir Mahidin, mengaitkan tren ini dengan perubahan gaya hidup masyarakat.
“Perbelanjaan makan di luar meningkat, manakala perbelanjaan makan di rumah menunjukkan sedikit penurunan, menandakan kecenderungan gaya hidup moden yang lebih urban dan mobil,” katanya.
Perubahan corak perbelanjaan ini seiring dengan peningkatan pendapatan isi rumah.
Laporan itu mendedahkan pendapatan penengah isi rumah tahunan meningkat kepada RM7,017, manakala purata pendapatan isi rumah pula ialah RM9,155 bagi tahun 2024.
Dari segi agihan perbelanjaan, perbelanjaan terbesar kekal untuk kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain iaitu 23.5 peratus, diikuti restoran dan perkhidmatan penginapan (17 peratus), makanan dan minuman (15.7 peratus), serta pengangkutan (11.0 peratus).
Laporan HIES 2024 juga membawa berita positif dari segi agihan kekayaan negara.
Jurang pendapatan semakin mengecil dengan peningkatan dalam kalangan kumpulan B40, manakala insiden kemiskinan mutlak menurun kepada 5.1 peratus berbanding 6.2 peratus pada tahun 2022.
Data ini menggambarkan daya tahan ekonomi isi rumah yang kukuh meskipun berdepan dengan cabaran kos sara hidup.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri