Kongres Nasional PKR.
PAS didakwa mahu menggunakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘batu loncatan’ untuk kembali menguasai Putrajaya, sebelum menjadikan kedua-dua parti itu sekadar ‘pak turut’ dalam gabungan PN-BN.
Naib Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata kerjasama berkenaan dilihat sebagai usaha PAS memperkukuh peluang untuk kembali menguasai Kerajaan Persekutuan selepas beberapa percubaan menjalin kerjasama politik dengan parti lain sebelum ini.
Menurutnya, rundingan antara PAS dan BN bakal menguji sejauh mana kedua-dua pihak sanggup berkompromi, terutama berkaitan pembahagian kerusi serta calon Perdana Menteri daripada gabungan PN-BN.
“PAS menyedari usaha kembali menjadi kerajaan secara bersendirian adalah mustahil dan bagi mencapai impiannya pimpinan parti itu menjadikan BN dan UMNO sebagai platform untuk mencapai matlamatnya.
“PAS sudah cuba bekerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) dan Pakatan Rakyat (PR), tetapi parti itu gagal menguasai Putrajaya dan membentuk kerajaan jika bersendirian,” katanya memetik satu laporan media.
Azan yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu mendakwa PAS akan menggunakan UMNO dan BN sebagai batu loncatan untuk membentuk kerajaan pada PRU akan datang.
Katanya, PAS juga dijangka tidak mudah berkompromi dalam isu pembahagian kerusi, khususnya kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU lalu.
“PAS akan menjadikan BN dan UMNO serta parti lain sebagai ‘pak turut’ jika bergabung dengan parti itu melalui gabungan dengan PN,” katanya.
Mengulas pendirian PAS untuk mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada PRU lalu, Azan berkata pendirian itu menunjukkan parti berkenaan tidak bersedia menyerahkan kerusi terbabit kepada rakan kerjasama.
Beliau mendakwa PAS tidak akan memberi ruang atau bertolak ansur untuk menyerahkan kerusi kepada BN dan UMNO, terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang.
“PAS adalah parti politik dan bukannya parti agama, parti itu tidak mungkin berganjak daripada keputusan awal iaitu mengagihkan kerusi kepada BN dan UMNO.
“Jika PN menang, calon Perdana Menteri dalam komponen itu adalah Ahmad Samsuri dan bukannya Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Rundingan antara PAS dan BN sebelum ini menjadi perhatian susulan usaha kedua-dua blok mencari bentuk kerjasama politik menjelang PRU16, termasuk soal pembahagian kerusi dan calon Perdana Menteri.
PAS ketika ini terus mempertahankan kedudukan di negeri yang dikuasainya, termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala soal siapa yang bakal memimpin kerajaan sekiranya gabungan pembangkang berjaya membentuk kerajaan turut menjadi antara isu utama dalam rundingan politik berkenaan.
Mohamad Hasan: UMNO tak mahu dipermainkan lagi, tetapkan empat syarat kerjasama
Peguam nafi Azeez pilih baju lokap, gari
Ahmad Zahid tolak spekulasi Ismail Lasim letak jawatan, nafi hadir mesyuarat
UMNO dakwa syarat dilanggar berhubung isu pengampunan Najib
Syahredzan gesa siasat dakwaan MB Negeri Sembilan dipaksa tandatangan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum