Ahmad Zahid tolak spekulasi Ismail Lasim letak jawatan, nafi hadir mesyuarat

1 jam lalu · Politik

Ahmad Zahid Hamidi menafikan berada dalam majlis yang dikaitkan dengan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, dipaksa menandatangani surat cara proklamasi menyingkirkan Tuanku Muhriz Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Presiden UMNO itu berkata, penglibatan beliau dalam majlis berkenaan turut dinafikan Ismail sendiri, sekali gus menolak spekulasi mengaitkannya dengan isu yang mencetuskan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan.

Beliau juga menafikan menerima maklumat Ismail sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Tak ada, tak ada (surat MB letak jawatan). Saya tak ada (dalam majlis). Dia (Ismail) sudah nafikan dah. Yang saya memang tak ada dalam itu,” katanya ketika ditemui media selepas Perasmian Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail sebelum ini mendakwa beliau menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tanpa rela dan secara paksaan.

Susulan dakwaan itu, Ismail berkata laporan polis dibuat petang semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas dakwaan berkenaan, Ahmad Zahid berkata kenyataan Ismail wajar disahkan dari sudut undang-undang oleh peguamnya yang didakwa berada ketika majlis penandatanganan surat cara proklamasi itu berlangsung.

“Saya rasa elok kalau kenyataan itu diabsahkan oleh peguam sendiri jika peguam itu berada ketika penandatanganan proklamasi itu dikeluarkan.

“Dan, kita dengar akan mungkin sidang media yang akan diadakan dalam waktu yang paling terdekat dan dalam perkara ini, UMNO menghormati institusi Raja dan juga institusi undang serta adat di Negeri Sembilan dan sebaik mungkin kita tidak akan mengotorkan tangan untuk demi menyantuni situasi di Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Undang Luak Sungei Ujong, Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah sebelum ini menyifatkan proklamasi yang ditandatangani Ismail pada 3 Ogos 2026 sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Menurut beliau, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai lalu memuktamadkan pengisytiharan bertarikh 19 April 2026 tidak mempunyai kesan undang-undang kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Kemelut itu kini memasuki fasa lebih serius selepas wujud percanggahan kenyataan mengenai kesahihan proklamasi, dakwaan paksaan terhadap Menteri Besar serta laporan polis yang dibuat bagi membolehkan perkara tersebut disiasat.

Berita berkaitan
Syahredzan gesa siasat dakwaan MB Negeri Sembilan dipaksa tandatangan
5 jam lalu· Politik
MB Negeri Sembilan: Saya tandatangan proklamasi secara paksaan
6 jam lalu· Politik
Undang dakwa proklamasi turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
10 jam lalu· Isu semasa
Pemansuhan AUKU beri ruang mahasiswa lebih ke depan: Ahmad Zahid
September 8, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Mohamad Hasan: UMNO tak mahu dipermainkan lagi, tetapkan empat syarat kerjasama
September 9, 2026 · Politik
Peguam nafi Azeez pilih baju lokap, gari
September 9, 2026 · Politik
Mohamad Hasan: Menang PRN bukan lesen UMNO untuk leka
September 9, 2026 · Politik
UMNO dakwa syarat dilanggar berhubung isu pengampunan Najib
5 jam lalu · Politik
SPRM: Azeez minta kekal pakai baju lokap, bergari
5 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok