Mohamad Hasan: Menang PRN bukan lesen UMNO untuk leka

September 9, 2026 · Politik

UMNO diingatkan supaya tidak cepat berasa selesa dengan kemenangan politik yang diraih ketika cabaran lebih besar dan rumit menanti parti itu pada masa akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, berkata setiap kejayaan perlu disertai sikap tawaduk, merendah diri dan tidak angkuh, selain bertindak secara insani selaras nilai Islam serta sifat bangsa Melayu.

“Janganlah kita terpesona dengan kemenangan yang sedikit, sedangkan cabaran yang lebih besar dan rumit sedang menanti,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.

Beliau berkata pengalaman politik UMNO sebelum ini menunjukkan kemenangan di sesuatu pilihan raya tidak boleh dijadikan ukuran untuk menganggap parti berada dalam kedudukan selamat.

Mohamad berkata UMNO pernah mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan Melaka 2021 apabila menguasai dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri.

Namun, katanya, kejayaan itu tidak diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 apabila UMNO mengalami kekalahan besar, termasuk tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka.

“Pada PRN serentak di enam negeri lain pada 2023, kita tewas dengan teruk sekali. Ada negeri yang kita tidak menang barang satu kerusi pun,” katanya.

Menurut Mohamad, rentetan kemenangan dan kekalahan itu perlu dijadikan ruang untuk ahli UMNO bermuhasabah, memahami ujian yang diberikan serta berusaha memperbaiki kelemahan parti.

“Apa sebenarnya yang Allah ingin uji kita daripada semua itu?

“Sesungguhnya semua itu adalah rahsia Allah jua. Tetapi Allah juga memberikan kita akal untuk berfikir, menginsafi dan berikhtiar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor serta Negeri Sembilan baru-baru ini memberi dorongan penting terhadap usaha pemulihan dan kebangkitan parti.

Katanya, keputusan itu antara lain menunjukkan orang Melayu mahukan perwakilan politik Melayu Islam yang kuat, namun UMNO perlu menentukan cara terbaik untuk menterjemahkan kehendak tersebut.

“Bagi mereka, tidak perlu pelbagai gabungan demi gabungan atau perikatan itu dan pakatan ini.

“Apa yang mereka mahu adalah suara politik Melayu Islam itu dominan dan menguasai,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata politik identiti masih menjadi faktor penting dalam kecenderungan pengundi, termasuk dalam kalangan orang Melayu.

Beliau turut mengakui kerjasama UMNO dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan masih sukar diterima sebahagian besar pengundi Melayu kerana persepsi yang telah lama terbentuk terhadap DAP.

“Lihat saja bagaimana UMNO cuba mewajarkan dan menjelaskan kerjasamanya dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Tiada hujah yang boleh meyakinkan majoriti pengundi Melayu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata UMNO tetap menyokong dasar dan program kerajaan yang baik sebagai tanggungjawab bersama, termasuk usaha mengembangkan ekonomi, memerangi rasuah dan ketirisan serta melaksanakan pembaharuan.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian itu masih sukar diterima sebagai pembelaan terhadap kepentingan Melayu selagi UMNO dilihat bekerjasama dengan DAP.

“Selagi UMNO dilihat bersama DAP, semuanya akan menjadikan Kerajaan Perpaduan itu tidak mewakili Melayu dan kepentingannya,” katanya.

Berita berkaitan
Mohamad Hasan: UMNO tak mahu dipermainkan lagi, tetapkan empat syarat kerjasama
September 9, 2026· Politik
UMNO dakwa syarat dilanggar berhubung isu pengampunan Najib
5 jam lalu· Politik
Pemansuhan AUKU beri ruang mahasiswa lebih ke depan: Ahmad Zahid
September 8, 2026· Isu semasa
Anwar tegaskan kerjasama anggota Kabinet masih baik, kerajaan stabil
September 8, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Peguam nafi Azeez pilih baju lokap, gari
September 9, 2026 · Politik
Ahmad Zahid tolak spekulasi Ismail Lasim letak jawatan, nafi hadir mesyuarat
1 jam lalu · Politik
Syahredzan gesa siasat dakwaan MB Negeri Sembilan dipaksa tandatangan
5 jam lalu · Politik
SPRM: Azeez minta kekal pakai baju lokap, bergari
6 jam lalu · Politik
MB Negeri Sembilan: Saya tandatangan proklamasi secara paksaan
6 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok