PAS dicabar tarik balik Amanat Hadi, ramai orang UMNO masih tersinggung

September 4, 2026 · Politik

PAS dicabar membuktikan kesungguhan memperkukuh perpaduan ummah dengan menarik balik Amanat Haji Hadi 1981 yang pernah mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan ahli UMNO.

Setiausaha Pemuda Amanah, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, langkah itu perlu diperjelaskan sekiranya PAS benar-benar serius mahu membina jambatan kerjasama dengan UMNO.

Namun, beliau tidak melihat sebarang kecenderungan PAS untuk menarik balik amanat itu, sebaliknya menjangkakan parti berkenaan akan terus membawa naratif perjuangan Melayu dan Islam dalam usaha meraih sokongan politik.

“Saya tidak rasa PAS akan tarik ataupun mereka akan menyebut tentang fatwa itu lagi.

“Tetapi saya lihat mereka akan konsisten menyebut tentang perjuangan agenda Melayu-Islam yang tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merampas kuasa daripada Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Setiausaha Veteran UMNO, Mustapha Yaakub supaya PAS menarik balik fatwa yang dikaitkan dengan Amanat Haji Hadi 1981 kerana menyinggung perasaan sebahagian besar ahli UMNO.

Mustapha sebelum ini turut mempersoalkan tahap kepercayaan terhadap kepimpinan PAS jika hanya mengemukakan janji ketika parti berdepan keadaan terdesak.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shahir turut mempersoalkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengenai persamaan akidah antara PAS dan UMNO serta kepentingan umat Islam sebagai asas kerjasama kedua-dua parti.

“Kalau mereka kata akidah mereka sama, maka perjuangan Islam PAS mesti sama dengan perjuangan Islam UMNO. Jadi sebenarnya itu jurang yang sukar untuk mereka satukan.

“Kalau tengok kepada dasar-dasar mereka, hanya menyebut tentang Islam tetapi Islam yang difahami atau dibawa oleh PAS itu berbeza, begitu juga dengan UMNO,” katanya.

Menurutnya, persamaan lebih ketara antara PAS dan UMNO ketika ini adalah dari sudut kepentingan politik, khususnya usaha mendapatkan sokongan dan kuasa.

“Yang mereka boleh satukan ialah misi mereka untuk mendapatkan tampuk kuasa. Kalau tanya apakah mereka akan menarik balik fatwa, saya lihat dalam Muktamar kali ini tidak nampak lagi usaha itu ataupun didesak oleh perwakilan,” katanya.

Ahmad Shahir berkata, kedua-dua parti mempunyai pendekatan berbeza dalam membawa agenda Melayu dan Islam, namun masing-masing dilihat berusaha mempertahankan kedudukan politik.

“Kedua-dua parti mahu mengekalkan kerusi Parlimen dan DUN. Itu sahaja matlamatnya.

“Kalau tanya saya apakah PAS akan menarik balik fatwa, saya tidak nampak usaha itu akan dibuat,” katanya.

Amanat Haji Hadi 1981 merujuk ucapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 1981 yang menjadi polemik panjang dalam hubungan politik PAS-UMNO, khususnya berkaitan tuduhan terhadap UMNO dan isu kafir-mengkafir dalam persaingan politik ketika itu.

Berita berkaitan
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
8 jam lalu· Politik
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
8 jam lalu· Politik
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
8 jam lalu· Politik
Tabung RM50 juta Najib: Wanita PKR persoal UMNO bawa budaya memaafkan perasuah?
10 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
September 21, 2026 · Politik
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
8 jam lalu · Politik
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
10 jam lalu · Politik
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
11 jam lalu · Politik
PRN Melaka: PH sedia jalan sendiri jika BN tak berminat kerjasama
13 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok