Bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri ke-8, Marzuki Mohamad (Kiri).
Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mengingatkan PAS supaya tidak terlalu yakin mampu bergerak bersendirian tanpa sokongan rakan gabungan, sambil mengimbau sejarah turun naik parti itu dalam landskap politik negara.
Marzuki merujuk kepada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 yang menyaksikan PAS mencatat lonjakan besar daripada tujuh kepada 27 kerusi Parlimen, mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dan hampir menawan Kedah.
Katanya, kemenangan itu bukan berlaku dalam vakum, sebaliknya dipacu oleh kebangkitan sentimen Melayu susulan pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim ketika itu.
“Orang Melayu yang bersimpati dengan nasib Anwar telah menolak BN. Keadaan ini memberikan lonjakan sokongan Melayu kepada PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Marzuki, kerjasama PAS dalam Barisan Alternatif bersama Parti Keadilan Nasional dan DAP ketika itu turut membuka ruang sokongan baharu, khususnya di negeri pantai barat seperti Selangor dan Perak.
PAS, katanya, mula dilihat lebih progresif dan tidak lagi terperangkap dengan imej “parti kampung”.
Namun, momentum itu tidak kekal lama. Marzuki berkata pengumuman Dokumen Negara Islam pada 2001 menyebabkan DAP keluar daripada gabungan berkenaan, sekali gus membawa kepada kejatuhan PAS dalam PRU 2004 apabila Terengganu tumbang dan jumlah kerusi Parlimen kembali merosot.
“Hadi hanya menjadi menteri besar sepenggal di Terengganu. Ini fakta sejarah,” katanya.
Mengulas situasi semasa, Marzuki melihat PAS seolah-olah mengulangi laluan sama selepas kejayaan besar PRU-15 melalui Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin.
Katanya, desakan supaya Muhyiddin berundur sebagai pengerusi PN susulan isu pelantikan menteri besar Perlis mencerminkan keyakinan PAS sumbangan rakan gabungan tidak lagi penting.
“Kalau jawatan perdana menteri boleh dilepaskan, jawatan pengerusi PN itu bukanlah sesuatu yang besar,” katanya, sambil mempersoalkan tindakan PAS yang pantas menuntut jawatan tersebut.
Marzuki turut mengingatkan laluan PN ke PRU-16 semakin kabur apabila sokongan bukan Melayu dan parti dari Sabah serta Sarawak dilihat menjauh, selain tanda-tanda pengundi UMNO mula berpatah balik.
“Bersatu dan Muhyiddin sebelum ini menjadi jambatan antara imej konservatif PN dan watak moderat Sabah dan Sarawak. Jambatan ini sedang dibakar,” katanya.
Beliau menegaskan persoalan sebenar bukan soal pertukaran kepimpinan, tetapi sama ada PN benar-benar mengukuh atau sedang mengulangi kesilapan lama yang pernah memakan diri PAS.
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
Anwar dakwa sikap tak sabar punca PRN Negeri Sembilan terpaksa diawalkan
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Rumah Jamal disita: 14 barang akan dilelong 22 Jun
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi