Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah.
PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) berkemungkinan berlangsung antara Oktober hingga November tahun ini susulan perkembangan politik semasa yang dilihat semakin menjurus ke arah pembubaran Parlimen.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah berkata parti itu kini mengarahkan seluruh jentera di semua peringkat supaya memperkukuhkan persiapan dan gerak kerja bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada masa terdekat termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan kemungkinan Melaka, dilihat sebagai petunjuk bahawa PRU-16 semakin hampir.
“Tahun ini dijangkakan berlaku PRU16. Dalam masa terdekat akan berlangsung PRN Johor dan Negeri Sembilan, selepas itu mungkin Melaka.
“Berkemungkinan selepas PRN Melaka, Parlimen akan dibubarkan kerana banyak tanda-tanda dan desas-desus mengatakan PRU tahun ini, cuma masih berteka-teki dari segi bulan atau tarikhnya,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa Kali Ke-54 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi yang semakin hangat mengenai tarikh pilihan raya umum susulan beberapa perkembangan politik mutakhir, termasuk persediaan parti-parti utama menghadapi siri PRN yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, walaupun terdapat andaian Parlimen mungkin dibubarkan seawal Julai selepas Perdana Menteri selesai lawatan rasmi ke luar negara, jangkaan yang lebih kuat ketika ini adalah pada penghujung Oktober atau November.
“Ada yang menjangka Julai selepas Perdana Menteri pulang daripada lawatan luar negara, namun pandangan lebih kuat ialah pada penghujung Oktober dan November.
“Bagaimanapun, apa yang penting ialah kita perlu meningkatkan komitmen dan iltizam serta memperkemaskan kedudukan parti bagi menghadapi kemungkinan PRU,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak bergantung kepada budaya kerja saat akhir kerana landskap politik kini semakin mencabar, terutama dalam usaha memenangi hati pengundi muda.
Menurutnya, corak pemikiran generasi muda sukar diramal dan memerlukan pendekatan yang lebih segar serta berkesan berbanding kaedah kempen tradisional.
“Kita tidak boleh menjangka atau membaca fikiran pengundi, terutama golongan muda kerana corak pemikiran mereka berbeza,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong parti supaya tidak memandang ringan kemunculan parti-parti politik baharu yang semakin aktif mencari ruang dalam arena politik negara.
“Saya juga mengingatkan jentera supaya tidak memandang rendah kewujudan parti-parti baharu kerana pendekatan yang digunakan mampu menarik perhatian pengundi muda,” katanya.
PRU-15 sebelum ini diadakan pada November 2022 dan menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas tiada gabungan memperoleh majoriti mudah.
AMK Johor kritik Onn Hafiz dakwa rakyat yang mahu PRN diadakan
PRN Johor: Puad beri laluan kepada calon muda, tak pertahan kerusi Rengit
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar