Najib Razak terlibat dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyifatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai antara kes kleptokrasi paling buruk pernah berlaku di dunia, susulan penyelewengan dana awam berjumlah berbilion ringgit yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Dalam penghakiman bertarikh 26 Disember 2025 yang dimuat naik ke dalam sistem kehakiman pada Selasa, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata kes itu membabitkan transaksi kewangan antarabangsa yang kompleks dan tersusun bagi menyeleweng serta menyembunyikan asal-usul dana awam yang disalahgunakan.
Menurut beliau, empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.3 bilion merupakan antara jenayah kewangan paling serius pernah dihadapi negara.
“Skala penyelewengan dalam kes tersebut begitu besar sehingga boleh dibandingkan dengan tindakan penakluk terkenal, Attila the Hun apabila berbilion-bilion ringgit dana awam dilencongkan melalui pelbagai transaksi yang dirancang secara teliti bagi menyembunyikan asal-usul wang berkenaan,” katanya dalam penghakiman setebal 809 muka surat itu.
Hakim berkenaan berkata, ketika kejadian, Najib berada di kedudukan tertinggi sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sekali gus mempunyai pengaruh besar terhadap keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah 1MDB.
Beliau turut menjelaskan budaya pengurusan secara “top-down” dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu menyebabkan arahan daripada pihak atasan dipatuhi tanpa dipersoalkan, manakala banyak keputusan penting dibuat selepas mendapat kelulusan awal daripada tertuduh.
Menurut penghakiman itu, dana yang diselewengkan kemudiannya melalui proses pengubahan wang haram yang rumit menerusi pelbagai akaun bank tempatan dan luar negara bagi mengaburkan sumber sebenar wang berkenaan.
“Dana tersebut melalui proses lapisan yang rumit dalam skim pengubahan wang haram seperti pemindahan antara pelbagai akaun peribadi dan luar negara, yang sengaja direka untuk mengaburkan asal-usul haram wang tersebut,” katanya.
Hakim turut menyatakan skala penyelewengan yang berlaku begitu besar sehingga menjadikan Attila the Hun “kelihatan seperti seorang ahli koir” sebagai perbandingan terhadap tahap kerosakan yang dilakukan.
Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas kesemua 25 pertuduhan yang dihadapinya dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan dan lima tahun bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.
Najib berdepan pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta melakukan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama antara 2011 hingga 2014.
Skandal 1MDB sebelum ini mencetuskan siasatan di beberapa negara dan menjadi perhatian dunia selepas dakwaan penyelewengan dana syarikat pelaburan milik kerajaan itu terbongkar.
Jangan musuhi DAP ketika kempen, berkawan bila berkuasa: Mahfuz
AMK Johor kritik Onn Hafiz dakwa rakyat yang mahu PRN diadakan
PN bukan milik satu parti: Marzuki bidas PAS
PRN Johor: Puad beri laluan kepada calon muda, tak pertahan kerusi Rengit
PAS jangka PRU-16 mungkin diadakan hujung tahun
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar