Pegawai risikan didakwa terima rasuah lindungi aktiviti haram

October 31, 2025 · Isu semasa

Seorang pegawai kanan tentera yang bertugas dengan Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (PPPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM34,500 bagi menutup aktiviti penyeludupan di Johor, Julai lalu.

Tertuduh, yang tidak boleh dinamakan atas arahan mahkamah, didakwa menerima wang tunai tersebut daripada seorang individu bernama Chong Gui Lin melalui perantaraan Zaifol Abd Hamid.

Perbuatan rasuah itu didakwa sebagai balasan untuk tidak mengambil sebarang tindakan atau melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku di daerah Kota Tinggi, Johor.

Menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu berlaku di Trion@KL, Jalan Dua, Chan Sow Lin, di sini, dan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Peguam bela tertuduh, Geethan Ram Vincent, memohon jaminan pada kadar RM6,000 dengan alasan kliennya masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan memerlukan pasport untuk tugasan rasmi di luar negara.

“Tertuduh masih berkhidmat aktif dan memerlukan kebebasan pergerakan untuk menjalankan tugas rasmi kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warganegara serta mengenakan beberapa syarat tambahan.

Antaranya, tertuduh diwajibkan melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan dan memaklumkan secara bertulis kepada mahkamah sekiranya perlu ke luar negara.

“Mahkamah tidak mengarahkan pasport ditahan setelah mengambil kira keperluan tugas rasmi tertuduh yang memerlukan pergerakan antarabangsa,” jelas Hakim Azura.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat.

Sementara itu, media telah diarahkan untuk tidak menyiarkan nama tertuduh memandangkan beliau masih berkhidmat sebagai pegawai risikan pertahanan yang terlibat dalam operasi sensitif.

Kes ini telah ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Disember depan bagi proses seterusnya.

Berita berkaitan
SPRM sita aset RM9.7 juta dalam siasatan pelaburan RM300 juta
5 jam lalu· Isu semasa
Sultan Pahang tegur salah guna kuasa di sebalik baju seragam dan institusi
January 24, 2026· Isu semasa
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
January 24, 2026· Isu semasa
PM gesa tolak amalan kartel, lindungi kepentingan rakyat
January 24, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Guru rugi RM325,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai AMLA
5 jam lalu · Isu semasa
Guan Eng desak Sosma dimansuh susulan penahanan remaja 16 tahun
5 jam lalu · Isu semasa
Agong berangkat ke Russia untuk lawatan khas: Laporan
5 jam lalu · Isu semasa
Akses lebih adil kepada pelajar pelbagai aliran masuk ke universiti awam: Loke
January 24, 2026 · Isu semasa
Anwar nafi isu tanah Malaysia diserah kepada Indonesia
January 24, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
January 20, 2026
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong
January 19, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok