Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kementerian Komunikasi menggesa Majlis Media Malaysia (MMM) untuk berbincang dengan syarikat serta organisasi media tempatan berhubung kemungkinan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan pengamal media.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata langkah itu penting bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat mengambil kira kebajikan pekerja dalam industri berkenaan.
Menurutnya, pandangan pelbagai pihak perlu dikumpulkan sebelum dasar tersebut boleh diperhalusi.
“Kita mahu MMM berbincang dengan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh. Fokus utama adalah kebajikan pengamal media,” katanya selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Penerangan akan digerakkan untuk mendapatkan pandangan orang ramai.
“Maklum balas itu akan diteliti sebelum sebarang cadangan lanjut dikemukakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan seterusnya dibawa ke perhatian Jemaah Menteri,” katanya.
Langkah ini hadir susulan pengumuman kerajaan sebelum ini mengenai pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan bermula pertengahan April.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan dasar itu diperkenalkan sebagai langkah proaktif dalam menghadapi cabaran krisis tenaga global.
Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dengan matlamat mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan bekalan tenaga negara kekal mampan, khususnya ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan penjawat awam tertentu, khususnya yang berulang-alik lebih lapan kilometer ke tempat kerja di beberapa kawasan utama, layak melaksanakan BDR mengikut jadual yang ditetapkan.
Cadangan untuk memperluaskan pendekatan ini kepada sektor media dilihat sebagai langkah awal ke arah menyesuaikan industri tersebut dengan norma kerja baharu, selain memastikan keseimbangan antara produktiviti dan kesejahteraan pekerja terus terpelihara.
KPDN cari jalan ringankan beban pengusaha stesen minyak
Subsidi diesel melonjak tiga kali ganda selepas krisis global
PMX pertahan bantuan ke Gaza, tanda prihatin berterusan sesama umat Islam
Pergerakan pasaran bursa dijangka kekal berhati-hati minggu depan
Harga barang kekal stabil selagi bekalan cukup: Mohamad Sabu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan