Pemansuhan AUKU beri ruang mahasiswa lebih ke depan: Ahmad Zahid

September 8, 2026 · Isu semasa

Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 diharap dapat membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk mengembangkan pemikiran, penguasaan ilmu serta kemampuan dalam bidang profesional.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata perubahan itu juga diharap mendorong lebih ramai mahasiswa mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan serta tampil dengan idea baharu.

“Sebagai seorang mantan aktivis pelajar, itu harapan saya, tidak perlu dan tidak semestinya berada di jalanan, di sudut pidato atau mengadakan perarakan-perarakan yang berlainan warna baju pada setiap minggu.

“Saya amat yakin pemimpin mahasiswa dan mahasiswa keseluruhannya akan lebih berminda tinggi tanpa AUKU yang menyekat pemikiran dan minda para pelajar selama ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, hari ini.

Beliau berkata pemansuhan AUKU turut memberi lebih ruang kepada institusi pengajian tinggi untuk berkembang, namun kebebasan itu perlu disertai akauntabiliti yang boleh diukur melalui peningkatan mutu pembelajaran, mobiliti graduan dan impak penyelidikan.

Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan serta ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa.

Dalam perkembangan berkaitan pendidikan Melayu, Ahmad Zahid turut mencadangkan pembentukan Indeks Mobiliti Pendidikan Melayu bagi menjejaki perjalanan pendidikan anak bangsa daripada latar sosioekonomi, pencapaian pembelajaran, laluan pengajian sehingga pekerjaan, kesepadanan kemahiran dan perkembangan pendapatan.

Katanya, agenda pendidikan Melayu perlu beralih kepada pendekatan berasaskan data dan hasil, bukan sekadar mengukur jumlah program, peruntukan atau peserta.

“Ukuran kita mesti bergerak daripada persekolahan kepada pembelajaran, dan daripada pembelajaran kepada mobiliti… bukan hanya berapa lama seseorang berada dalam sistem, tetapi apa yang dikuasainya, ke mana ilmu itu membawanya dan sejauh mana pendidikan meningkatkan mobiliti sosialnya,” katanya.

Beliau mahu Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO bersama institusi akademik membangunkan kerangka awal indeks berkenaan untuk diteliti sebelum dibawa ke peringkat dasar.

Ahmad Zahid turut menggariskan tiga cabaran pendidikan masa kini, iaitu kemiskinan ilmu dan keupayaan, pemilikan ilmu serta memastikan pendidikan diterjemahkan kepada nilai ekonomi.

“Pada suku kedua tahun ini, 35.2 peratus pekerja berpendidikan tertiari masih berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran mereka,” katanya.

Bagi menangani cabaran itu, beliau mengemukakan lima misi utama termasuk memperkukuh Universiti Teknologi MARA sebagai institusi penguasaan bumiputera, membangunkan Infrastruktur Ilmu Digital Bahasa Melayu, memperluas autonomi berprestasi universiti serta mencapai sasaran Dana Wakaf Ilmu Bumiputera sekurang-kurangnya RM1 bilion menjelang 2030.

Berita berkaitan
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
7 jam lalu· Politik
MCA semakin terpinggir dalam BN, dakwa pemimpin PKR
8 jam lalu· Politik
Zahid sahkan MCA kekal bertanding PRN Melaka, calon dipilih kekal
14 jam lalu· Politik
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
17 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
7 jam lalu · Isu semasa
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
14 jam lalu · Isu semasa
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
October 26, 2026 · Isu semasa
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
October 26, 2026 · Isu semasa
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
October 26, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok