Dr Muhamad Akmal Saleh.
Desakan semakin kuat agar kerajaan mengambil pendekatan lebih tegas terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut, termasuk mendakwa mereka di bawah Kanun Keseksaan serta mewajibkan pembayaran pampasan kepada keluarga mangsa.
Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) masih belum mencukupi untuk membendung kes berkenaan walaupun memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda tinggi dan penggantungan lesen.
“Nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan dengan hukuman yang tidak memberi kesan pencegahan nyata,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau mencadangkan agar kes kematian akibat pemandu mabuk didakwa di bawah Kanun Keseksaan dengan hukuman lebih berat, termasuk penjara seumur hidup atau hukuman setimpal.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan pampasan mandatori dikenakan ke atas pelaku kepada keluarga mangsa.
“Sekiranya pelaku tidak mampu, mekanisme tanggungan alternatif perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan,” katanya.
Beliau juga mencadangkan skim khairat kematian berpusat diwujudkan bagi membantu keluarga mangsa dengan segera.
Cadangan itu timbul susulan satu kemalangan tragis di Klang semalam yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, sebuah kereta dipercayai dipandu secara melulu sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh mangsa.
Mangsa lelaki berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.
Mengulas lanjut, Akmal menegaskan kejadian seumpama itu bukan lagi kes terpencil, malah semakin kerap berlaku dan membimbangkan.
“Jika kesalahan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka memandu dalam keadaan mabuk hingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan sama,” katanya.
Beliau turut menggesa semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik untuk segera mengambil tindakan legislatif.
“Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak?” katanya, sambil merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.
Anwar pertahan pendekatan diplomasi Malaysia dalam berdepan krisis Asia Barat
Kerajaan perkukuh usaha hadapi krisis tenaga, lindungi rakyat: Fahmi
Iran dakwa tembak jatuh pesawat tentera AS di Isfahan
KPDN cari jalan ringankan beban pengusaha stesen minyak
Subsidi diesel melonjak tiga kali ganda selepas krisis global
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan