Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bakal dibawa kerajaan Madani.
Proses menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri sudah meneliti pembentangan RUU itu dan mengambil maklum bahawa ia kini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat untuk penelitian lanjut.
“Jemaah Menteri meneliti pembentangan RUU bagi tujuan memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengambil maklum bahawa satu jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Menurut Fahmi, jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, akan mengadakan mesyuarat pertama pada 16 Mac.
“Azalina memaklumkan bahawa mesyuarat pertama akan diadakan pada 16 Mac dan proses meneliti pandangan, mengumpul maklum balas serta menambah baik RUU ini dijangka mengambil masa sekitar tiga bulan,” jelasnya.
Sebelum ini, RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat sebelum Azalina membawa usul supaya ia dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas.
Usul itu kemudiannya diluluskan dengan suara majoriti.
Langkah memisahkan peranan AG dan Pendakwa Raya dianggap sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang lama dibincangkan.
Ketika ini, kedua-dua fungsi tersebut terletak di bawah satu jawatan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menimbulkan perbahasan mengenai isu kebertanggungjawaban dan kebebasan pendakwaan.
Azalina sebelum ini dilaporkan berkata jawatankuasa itu akan meneliti keseluruhan RUU termasuk mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya serta mencadangkan pindaan yang difikirkan perlu.
Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin, Takiyuddin Hassan, Ronald Kiandee dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain wakil kerajaan seperti William Leong, Syahredzan Johan, Adly Zahari, Noraini Ahmad, Roy Angau, Lo Su Fui dan Ramkarpal Singh.
Rakyat sudah nilai prestasi Rafizi yang tidak menyakinkan: AMK
Rafizi bebas pilih haluan politik sendiri: Akmal Nasrullah
Azmin nafi Bersatu akan kembali bersama PH
Hamzah nak letak jawatan pun takut… Kini nak umum parti baharu pula?
Radzi bidas fitnah disebar dakwa Bersatu akan bersama PH
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi