
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 November ini ditunda sekali lagi, kali ini ke 14 hingga 17 Januari 2026.
Penangguhan ini berikutan pengumuman jadual Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertindih dengan tarikh asal perhimpunan tersebut.
Setiausaha Agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan media dengan menyifatkan keputusan ini dibuat bagi memastikan parti dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kempen PRN Sabah.
“Tarikh itu bertembung dengan PAU yang sebelum ini dirancang pada 26 hingga 29 November, maka Umno Malaysia memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan itu kepada 14 hingga 17 Januari 2026,” katanya.
Menurut Asyraf, penangguhan itu adalah langkah strategik untuk memberi ruang kepada seluruh kepimpinan dan jentera parti di seluruh negara agar dapat menumpukan tenaga membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Sabah.
Beliau menegaskan fokus utama pada masa ini adalah untuk memastikan kejayaan BN dalam pilihan raya negeri berkenaan.
“Diharapkan penangguhan ini dapat memastikan seluruh kekuatan UMNO dapat digerakkan untuk kemenangan BN Sabah demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau lagi.
Ini merupakan kali kedua PAU 2025 ditangguhkan, sebelum ini perhimpunan yang pada asalnya dijadualkan pada 20 hingga 23 Ogos 2025 telah ditunda ke November.
Kini, dengan penangguhan kali ini, perhimpunan agung tertinggi parti itu akan diadakan pada awal tahun 2026.