Permohonan Muhyiddin pindahkan 7 kes ke Mahkamah Tinggi dibenarkan mahkamah

June 16, 2025 · Politik

Tujuh kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati Muhyiddin memenuhi ambang peruntukan Seksyen 417 (1)(b) Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan kes beliau dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin, selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, bagi pihak pendakwaan.

“Saya sudah mendengar permohonan pemohon dan membaca afidavit yang difailkan pemohon serta responden. Saya juga sudah menimbangkan hujahan pemohon dan responden.

“Pemohon memenuhi peruntukan bagi kesnya dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 417 (1)(b) KAJ. Tiga persoalan undang-undang yang akan berbangkit (daripada pertuduhan) adalah persoalan undang-undang yang luar biasa sukarnya.

“Walaupun saya mempunyai keyakinan penuh bahawa hakim Mahkamah Sesyen mempunyai pengetahuan undang-undang dan kepakaran untuk mengendalikan perbicaraan kes ini, adalah lebih wajar bagi tiga persoalan berkenaan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Muhammad Jamil kemudian menetapkan 14 Julai depan bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi berasingan yang akan ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar.

Sementara itu, Wan Shaharudin memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, dengan alasan ia membabitkan persoalan dan isu undang-undang yang boleh menimbulkan kesulitan luar biasa di sisi undang-undang.

Menerusi dokumen permohonan, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata ia kes berkepentingan awam yang menarik perhatian umum dan mendapat liputan media yang meluas dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau memohon perbicaraan berkenaan dijalankan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkepentingan awam.

Muhyiddin berkata pemindahan tujuh kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi tidak akan menimbulkan kesulitan atau kemudaratan, sebaliknya akan memudahkan dan tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.

Pada 15 Ogos 2023, Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk membatalkan kes berkenaan.

Muhammad Jamil memutuskan keempat-empat pertuduhan terbabit kabur dan tidak berasas kerana tidak menyatakan butiran kesalahan.

Bagaimanapun, pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan mengarahkan empat kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Berita berkaitan
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
16 jam lalu· Isu semasa
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
17 jam lalu· Isu semasa
Amanah cadang PH bentuk ‘khemah besar’ hadapi PRU-16, kerjasama dengan Bersatu
22 jam lalu· Politik
Mahkamah tangguh prosiding bankrap Najib dan anak
22 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
PAS Terengganu cadang calon PM dari negeri itu
13 jam lalu · Politik
PAS dicabar tarik balik Amanat Hadi, ramai orang UMNO masih tersinggung
18 jam lalu · Politik
Anwar: PRU-16 awal? Tunggu masa sesuai
18 jam lalu · Politik
Pelantikan Ketua Audit Negara perlu bebas campur tangan politik: Syahredzan
19 jam lalu · Politik
PAS-UMNO makin terbuka, hantar wakil hadir ke PAU
19 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok