Permohonan pendidikan percuma IPTA masih dibuka

March 8, 2026 · Isu semasa

Permohonan bagi inisiatif pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih dibuka dan setakat ini belum mencapai kuota ditetapkan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, jumlah permohonan dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, khususnya selepas pembukaan pengambilan baharu kemasukan diploma dan ijazah melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) sekitar April dan Mei.

“Permohonan masih dibuka dan kita jangka lebih ramai pelajar akan memohon selepas keputusan kemasukan baharu IPTA diumumkan nanti,” katanya dipetik laporan media.

Menurut beliau, setiap permohonan akan melalui proses semakan silang bersama beberapa agensi bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak menerima manfaat tersebut.

“Kita akan buat semakan silang dengan pelbagai agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan eKasih serta badan lain yang turut menawarkan penajaan. Dalam amalan biasa, seorang pelajar hanya boleh menerima satu bentuk penajaan,” katanya.

Adam Adli menjelaskan, inisiatif tersebut berfungsi hampir sama seperti pinjaman PTPTN, namun penerima tidak perlu membuat bayaran semula selepas menamatkan pengajian.

Pada peringkat awal, program berkenaan melibatkan 5,800 pelajar dengan peruntukan kira-kira RM120 juta setahun, iaitu sekitar RM20,000 bagi setiap pelajar.

Kerajaan kemudiannya meningkatkan jumlah penerima kepada 10,000 pelajar bagi memberi peluang lebih luas kepada golongan berpendapatan rendah.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan anak-anak daripada keluarga miskin mempunyai peluang melanjutkan pengajian tanpa perlu risau tentang beban hutang selepas tamat belajar,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan pendidikan percuma melalui PTPTN kepada 10,000 pelajar IPTA bermula tahun ini.

Program tersebut memberi tumpuan kepada pelajar daripada keluarga miskin dengan pendapatan isi rumah kurang RM2,705 sebulan, selaras dengan usaha kerajaan memperluas akses pendidikan tinggi dan mengurangkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027: Pelajar Tingkatan Enam bakal terima elaun
August 28, 2026· Isu semasa
AUKU dimansuh, mahasiswa diberi ruang bersuara: Anwar
August 28, 2026· Isu semasa
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
August 24, 2026· Politik
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
August 16, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kad UNHCR bukan lesen langgar undang-undang Imigresen
4 jam lalu · Isu semasa
MCMC diminta sekat jualan dadah dalam talian: Fahmi
12 jam lalu · Isu semasa
Zahid, Fahmi akan bawa isu PKD-NADI ke Kabinet sebulan lagi
14 jam lalu · Isu semasa
Zahid nafi KKDW terlebih belanja projek jalan luar bandar
14 jam lalu · Isu semasa
Jerebu makin teruk, KPM benarkan anak tak ke sekolah
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok