Perwakilan Pemuda PAS mahu parti terajui Putrajaya, termasuk jawatan PM: Laporan

September 3, 2026 · Politik

PAS perlu mengubah pendekatan politiknya dengan memastikan parti itu menjadi peneraju utama di peringkat Persekutuan, termasuk meletakkan calon sendiri bagi jawatan Perdana Menteri (PM).

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ilyas Ahmad berkata, parti itu mempunyai barisan pemimpin yang mencukupi serta berkelayakan untuk memimpin negara dan tidak sepatutnya lagi memberi laluan kepada parti lain bagi jawatan tertinggi kerajaan.

Katanya, usaha menyatukan umat Islam di peringkat Persekutuan juga perlu diterajui PAS, bukan sekadar menjadikan parti itu sebagai sebahagian daripada gabungan yang mengikut keputusan pihak lain.

“Kita tidak mahu lagi dengar kata-kata seperti ‘tak apa, biarlah orang lain jadi perdana menteri’. Kita tidak mahu dengar lagi perkara itu!

“Kali ini, kita mahu pastikan PAS menjadi peneraju utama di peringkat Persekutuan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS pada Muktamar PAS hari ini.

Ilyas turut menegaskan, PAS perlu lebih yakin dengan kekuatan sendiri dalam menghadapi perkembangan politik semasa, terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Perkembangan itu hadir ketika hubungan politik antara PAS dan Umno-BN terus menjadi perhatian selepas kedua-dua pihak bekerjasama dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) atas agenda penyatuan umat Islam.

Kerjasama lebih erat antara PAS dan Umno-BN turut menjadi tumpuan selepas kejayaan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pengumuman rasmi mengenai kemungkinan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi menghadapi PRN Melaka yang akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini berkata, parti itu sudah bersedia menghadapi PRU-16, termasuk sekiranya pilihan raya itu diadakan lebih awal daripada jadual.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan hasrat supaya PRU16 diadakan lebih awal bagi membolehkan kerajaan memperoleh mandat baharu daripada rakyat.

Sementara itu, perwakilan Pemuda PAS Terengganu, Mukhlis Hasin turut menggesa PAS menjadi peneraju dalam sebarang usaha penyatuan politik.

Katanya, PAS tidak boleh sekadar menjadi “pengikut” atas alasan mahu memastikan kerjasama politik terus terpelihara.

“Jangan sesekali takut untuk mempertahankan identiti kita hanya semata-mata mahu mempertahankan perpaduan. Kita tidak sepatutnya takut untuk mempertahankan kebenaran hanya kerana mahu menjaga perpaduan,” katanya.

Mukhlis berkata, Pemuda PAS bukan sahaja bertanggungjawab menyatukan ahli di peringkat akar umbi, malah perlu memastikan kepimpinan parti bersedia menjayakan agenda penyatuan.

“Cabaran terbesar kita dalam memimpin penyatuan ini ialah kadang-kadang anak-anak (ahli parti) mahu bersatu, tetapi bapa-bapa mereka (pemimpin parti) mempunyai keperluan dan alasan tertentu sehingga menyebabkan penyatuan itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Berita berkaitan
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
4 jam lalu· Politik
Tabung RM50 juta Najib: Wanita PKR persoal UMNO bawa budaya memaafkan perasuah?
7 jam lalu· Politik
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
7 jam lalu· Politik
PRN Melaka: PH sedia jalan sendiri jika BN tak berminat kerjasama
10 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
4 jam lalu · Politik
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
4 jam lalu · Politik
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
4 jam lalu · Politik
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
7 jam lalu · Politik
Tuanku Muhriz batal pelantikan semua Exco Negeri Sembilan
10 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok