Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Malaysia mengecam tindakan tentera Israel yang memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menahan lebih 100 aktivis antarabangsa termasuk 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyifatkan tindakan itu sebagai “kurang ajar” serta jelas melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
Menurut beliau, tindakan Israel membuktikan rejim Zionis terus bertindak agresif dalam menyekat bantuan kemanusiaan dan menekan pihak yang tampil mempertahankan rakyat Palestin.
“Rejim ini dilihat rakus dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa saja yang bangkit mempertahan serta membela rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Beliau turut menuntut jaminan keselamatan dan pembebasan segera semua aktivis yang ditahan.
Terdahulu, media melaporkan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi itu meningkat kepada 16 orang setakat jam 7.05 petang.
Perkembangan tersebut dimaklumkan menerusi siaran langsung di Pusat Operasi Sumud Nusantara Malaysia di Kuala Lumpur.
Misi GSF 2.0 digerakkan oleh gabungan aktivis antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika wilayah Palestin itu terus berdepan krisis perang dan sekatan berpanjangan.
Sejak konflik memuncak, pelbagai pertubuhan antarabangsa mendakwa laluan bantuan ke Gaza sering disekat sehingga menjejaskan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas penduduk awam.
Anwar menegaskan dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku di Palestin.
“Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera. Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban,” katanya.
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum