Perikatan Nasional.
Perikatan Nasional (PN) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terhadap gabungan politik itu, menjelang penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata permohonan itu difailkan pada jam 10.14 pagi hari ini, termasuk permohonan supaya kes berkenaan didengar secara segera sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka.
Menurutnya, tindakan itu bertujuan mendapatkan kepastian mengenai status PN sebagai gabungan politik berdaftar serta persoalan sama ada gabungan berkenaan masih boleh bertanding menggunakan logo PN.
“Kita juga telah berhubung dengan pihak SPR. Mereka mengatakan perkara itu bergantung kepada RoS sebagai badan pengawalselia pertubuhan termasuk pertubuhan politik,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Takiyuddin berkata permohonan berkenaan turut disertakan perakuan segera memandangkan SPR dijangka mengadakan mesyuarat pada Rabu, 7 Oktober, bagi menentukan perkara berkaitan PRN Melaka.
Lima setiausaha agung parti komponen PN dinamakan sebagai pemohon, iaitu Takiyuddin, Saifuddin Abdullah daripada Wawasan Negara, Sathes Kumar daripada Malaysian Indian People’s Party, Wong Chia Zhen daripada Gerakan dan Sazmi Miah daripada Pejuang.
Ketua Pengarah RoS, Zulkifar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pula dinamakan sebagai responden.
Isu itu tercetus selepas PN menerima notis tunjuk sebab daripada RoS pada 22 September lalu, termasuk amaran berhubung kemungkinan pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
Sehari kemudian, PN menerima satu lagi notis yang mengarahkan gabungan itu menghentikan sebarang aktiviti menggunakan nama PN.
Takiyuddin sebelum ini mendakwa tindakan RoS mempunyai unsur politik dan berkait dengan aduan Bersatu mengenai keputusan PN tidak menjemput parti itu ke mesyuarat pada 16 Julai lalu.
Beliau menjelaskan mesyuarat tersebut antara lain membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya di Negeri Sembilan.
Menurutnya, keputusan tidak menjemput Bersatu dibuat selepas kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan pada 15 Julai untuk bertanding menggunakan logo sendiri dan bukan logo PN.
Takiyuddin turut mempertikaikan isu kuorum dalam Bersatu, sambil mendakwa perlembagaan parti itu menetapkan kuorum 25 anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, sedangkan ketika ini hanya 23 anggota berada dalam majlis berkenaan.
“Kalau RoS sebelum ini mengatakan Bersatu boleh mentafsir perlembagaan sendiri dan RoS tidak boleh campur tangan dalam urusan dalaman parti, mengapa RoS campur tangan dalam urusan pentadbiran PN?” soalnya.
Beliau berkata PN sudah cuba mendapatkan pertemuan dengan Ketua Pengarah RoS bagi menyelesaikan isu berkenaan, namun setakat ini belum mendapat janji temu.
PN juga telah menghantar surat kepada RoS untuk mendapatkan penjelasan rasmi mengenai status gabungan itu serta kelayakannya bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo PN.
Isu tersebut menjadi semakin penting menjelang PRN Melaka kerana keputusan RoS berpotensi memberi kesan kepada strategi dan penggunaan logo PN sekiranya pilihan raya negeri itu dipanggil dalam tempoh terdekat.
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
PRN Melaka: PAS sedia guna lambang bulan selepas PN dibatalkan RoS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum