Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil diberikan taklimat semasa kunjungan ke Pusat Mel Nasional bersempena Hari Pos Sedunia hari ini.
Sempena sambutan Hari Pos Sedunia, Pos Malaysia melangkah setapak lagi dalam landskap global dengan melancarkan jenama antarabangsa baharunya, Redly Pos Malaysia International, atau ringkasnya Redly.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dalam ucapannya berkata, pelancaran jenama baharu ini menyatukan semua perkhidmatan penghantaran dan pos antarabangsa di bawah satu identiti yang kukuh.
“Ini akan menghubungkan pelanggan dan perniagaan Malaysia dengan dunia, membawa peluang global lebih dekat kepada rakyat,” ujarnya semasa majlis peluncuran Redly Pos Malaysia International hari ini.
Sebagai tanda sokongan berterusan kepada industri pos, Fahmi juga mengumumkan satu inisiatif besar kerajaan dengan menubuhkan Dana Perkhidmatan Pos dengan dana bernilai RM50 juta.
“Sukacita saya umumkan kerajaan melalui MCMC sedang menubuhkan Dana Perkhidmatan Pos (Postal Service Fund) untuk memastikan kelestarian dan kesinambungan perkhidmatan pos di seluruh negara, terutama di kawasan luar bandar,” jelas beliau lagi.
Dana tersebut, yang merupakan inisiatif strategik, bertujuan menyokong transformasi sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing dalam era komunikasi dan e-dagang.
Selaras dengan komitmen Malaysia sebagai anggota Kesatuan Pos Sedunia (UPU), MCMC sedang memuktamadkan proses untuk menyalurkan pembiayaan kewangan permulaan sebanyak RM50 juta.
“Penyaluran dana pendahuluan RM50 juta ini adalah bagi mengekalkan penyediaan perkhidmatan pos asas kepada rakyat tanpa gangguan,” tambah Fahmi.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua warga kerja Pos Malaysia atas dedikasi mereka.
“Bermula dari posmen yang menempuh segala keadaan cuaca untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya, hinggalah kepada kakitangan di kaunter dan di pusat pengasingan – dedikasi anda tidak akan dilupakan. Anda adalah wira yang tidak didendang,” katanya.
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum