PRN NS: Anwar harap pengundi kekalkan Aminuddin berdasarkan rekod

July 22, 2026 · Politik

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim menggesa pengundi Negeri Sembilan mengekalkan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar berdasarkan rekod pentadbirannya, sambil menyelar pihak yang didakwa terlalu ghairah merebut jawatan tersebut sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, keutamaan dalam pilihan raya bukan siapa yang memperoleh jawatan, sebaliknya memastikan negeri terus ditadbir dengan baik, bersih dan stabil demi kesejahteraan rakyat.

“Di sebelah sana, berapa ramai yang berebut jawatan Menteri Besar? Belum apa-apa sudah berebut, lepas pilihan raya nanti pun berebut lagi.

“Sebab itu jangan bagi mereka berebut. Berikan mandat kepada pimpinan PH yang sudah terbukti fokus bekerja untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Taman Sri Penaga, Sikamat.

Anwar berkata Aminuddin telah membuktikan keupayaannya sepanjang menerajui pentadbiran negeri tanpa dikaitkan dengan rasuah atau penyelewengan, sekali gus wajar diberi peluang meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan pihak lawan yang cuba memburukkan kepimpinan Aminuddin menjelang pilihan raya.

“Saya tidak pernah dengar Aminuddin gagal mentadbir, terpalit rasuah, tidak bantu rakyat atau orang Melayu. Tiba-tiba sekarang dia dituduh tidak tolong Melayu dan menjadi boneka DAP. Selama tiga tahun lebih memerintah, di mana isu itu?” katanya.

Anwar mendakwa krisis politik yang membawa kepada PRN Negeri Sembilan bukan berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya didorong keinginan segelintir pihak untuk mendapatkan jawatan Menteri Besar.

“Rupa-rupanya bukan soal Melayu. Isunya bagaimana hendak rebut jawatan Menteri Besar. Sebab itu timbul percubaan mengambil alih pentadbiran negeri,” katanya.

Pada masa sama, Anwar memberi jaminan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan terus dikekalkan meskipun PH dan Barisan Nasional (BN) bertembung dalam PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata kestabilan politik negara perlu dipertahankan bagi memastikan ekonomi terus berkembang dan keyakinan pelabur tidak terjejas.

“Saya mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri seperti biasa pagi tadi bersama Ahmad Zahid Hamidi, Anthony Loke, Mohamad Sabu dan menteri-menteri lain.

“Mesyuarat berjalan seperti biasa. Dalam hati siapa yang tahu. Yang penting kita pertahankan kestabilan. Kalau politik tidak stabil, pelabur tidak datang dan akhirnya rakyat yang menanggung kesusahan,” katanya.

Selain itu, Anwar turut mengkritik kempen berunsur perkauman yang dimainkan sesetengah pihak sepanjang pilihan raya, sambil menegaskan Kerajaan Perpaduan memberi layanan adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan sosioekonomi, perumahan dan pelarasan gaji penjawat awam.

PRN Negeri Sembilan diadakan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan susulan kemelut politik yang menyaksikan kerjasama antara BN dan PH berakhir di peringkat negeri.

Pilihan raya kali ini dilihat penting dalam menentukan kesinambungan pentadbiran negeri yang diterajui PH sejak 2018, dengan Aminuddin sekali lagi mempertahankan jawatan Menteri Besar menerusi pencalonannya di DUN Linggi.

Berita berkaitan
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
10 jam lalu· Isu semasa
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
10 jam lalu· Isu semasa
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
11 jam lalu· Politik
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
12 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
7 jam lalu · Politik
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
12 jam lalu · Politik
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
August 18, 2026 · Politik
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
August 18, 2026 · Politik
UMNO perlukan kuasa untuk ‘tikam belakang’, jadi perlu kekal dalam kerajaan: Puad
August 18, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok