Fahmi Fadzil.
Pakatan Harapan (PH) menegaskan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sebahagian daripada strategi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya dibuat mengikut proses yang diputuskan kerajaan.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata laporan itu hanya didedahkan selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan diklasifikasikan semula bagi membolehkan ia diumumkan kepada umum.
“RCI ini bermula susulan satu soalan yang dibangkitkan di Dewan Negara. Selepas Kabinet meluluskan dokumen itu, ia diklasifikasikan semula dan boleh didedahkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Internet Selamat X Sentuhan Sahabat MADANI di Jeram Padang, Jempol, pada Jumaat.
Menurut Fahmi, kerajaan sebelum ini menangguhkan pendedahan laporan berkenaan atas nasihat Pengerusi Tabung Haji yang juga ahli RCI bagi memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan cadangan pembaharuan serta memulihkan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu.
Beliau berkata, kerajaan bukan sekadar mahu mendedahkan kandungan laporan tersebut, malah mahu ia dibahaskan di Dewan Rakyat supaya tindakan lanjut dapat diambil terhadap sebarang salah laku yang dikenal pasti.
“Sebanyak 75 peratus syor dalam laporan itu sudah pun dilaksanakan. Baki syor yang melibatkan tindakan perundangan dan penguatkuasaan akan disusuli oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Menurut beliau, antara agensi yang akan mengambil tindakan susulan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Mengulas kritikan bahawa laporan RCI tidak menggunakan istilah “sakau”, Fahmi berkata dokumen rasmi seperti itu menggunakan istilah perundangan dan bukannya bahasa harian.
“Perkataan seperti rasuah memang disebut dalam laporan itu. Laporan polis dan laporan kepada SPRM juga telah dibuat. Kini terpulang kepada pihak berkuasa untuk meneliti serta mengambil tindakan jika terdapat kesalahan,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada dapatan RCI yang menyatakan berlaku manipulasi perakaunan di Tabung Haji, termasuk pada 2017 apabila kerugian sekitar RM1.4 bilion didakwa dipersembahkan seolah-olah mencatat keuntungan RM3.4 bilion.
“Itu adalah ‘creative accounting’ yang menunjukkan penipuan angka. Siasatan mendapati amalan itu bukan sahaja berlaku pada 2017, malah dikesan sejak 2014 lagi.
“Tabung Haji ialah institusi yang amat penting kepada umat Islam. Saya sendiri adalah pendeposit bersama ahli keluarga. Sudah tentu kita mahu Tabung Haji berada dalam keadaan lebih kukuh serta memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan laporan penuh itu,” katanya.
Terdahulu, beberapa pemimpin pembangkang mempersoalkan tindakan kerajaan mendedahkan laporan RCI Tabung Haji ketika kempen PRN Negeri Sembilan sedang berlangsung dan mendakwa ia bertujuan mempengaruhi sentimen pengundi.
Laporan RCI yang dinyahklasifikasikan minggu ini antara lain mendedahkan beberapa kelemahan tadbir urus, manipulasi perakaunan dan urus niaga sepanjang tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan pelbagai syor pembaharuan bagi memperkukuhkan pengurusan Tabung Haji pada masa hadapan.
Azeez Rahim sedia disiasat semula, susulan pendedahan laporan RCI Tabung Haji
RCI Tabung Haji: Pengkhianatan terbesar datang dari tangan sendiri
Darjah Kebesaran Rais Yatim ditarik balik serta-merta: Istana NS
PRN Negeri Sembilan: Politik idea atau politik perkauman, siapa sebenarnya menang?
Anwar: Tiada siapa kebal, laporan RCI TH didedah supaya salah laku disiasat
Altimet gesa tumpuan diberi kepada nasib pendeposit Tabung Haji
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO