
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin untuk meraih mandat baharu rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, sekali gus mengekalkan pemerintahan di Sabah.
Keyakinan tersebut disuarakan oleh Pengerusinya, Hajiji Noor, yang percaya tiada pihak lawan yang mampu menandingi kekuatan dan perpaduan gabungan tempatan terbesar itu, ia meskipun terdapat pemimpinnya terpalit dengan kontroversi isu rasuah.
“Dengan semangat padu dan kesatuan kukuh kita, tiada kekuatan lawan yang mampu menggugat kekuatan kita.
“Saya berterima kasih dan menyatakan penghargaan setingginya kepada semua rakan parti komponen yang kekal bersama dalam perjuangan ini meskipun berbeza latar belakang perjuangan,” ujar Hajiji semasa merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Beliau turut mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua parti komponen yang kekal setia membangunkan GRS.
Enam parti komponen yang menjadi teras GRS ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Hajiji menekankan kesetiaan yang ditunjukkan oleh parti-parti tersebut mempunyai nilai yang sangat besar.
“Tidak akan ada pihak lain mampu menggugat kekuatan kita, insya-Allah GRS akan mendapat mandat baharu pada pilihan raya kali ini,” katanya lagi.
Menurut Hajiji, perpaduan dalam GRS merupakan cerminan sebenar kekuatan parti tempatan yang perlu dipertahankan.
“Tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti lokal dan memperjuangkan hak kita orang Sabah.
“Itu sebabnya kita pastikan GRS menang pada pilihan raya nanti, kita rapatkan saf perjuangan, kukuhkan perjuangan GRS, insyaAllah GRS akan kembali berkuasa,” jelasnya.
Majlis pelancaran jentera tersebut disifatkan sebagai platform penting untuk menyelaraskan strategi dan memperkukuh kesiapsiagaan semua peringkat.
Hajiji berharap semangat yang dizahirkan akan diterjemahkan kepada satu suara, satu hati dan satu tekad untuk memastikan kemenangan GRS pada PRN17.