Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kredit gambar: PMO
Anwar Ibrahim menegaskan sistem audit negara perlu bergerak lebih pantas, tepat dan benar-benar memberi impak kepada rakyat, bukan sekadar menjadi rutin pentadbiran atau membetulkan angka di atas kertas.
Perdana Menteri berkata kelewatan dalam proses audit boleh membuka ruang kepada ketirisan serta menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tahap ketelusan pengurusan kewangan negara.
Menurutnya, audit yang baik tetapi lambat dilaksanakan tetap gagal mencapai matlamat sebenar.
“Kalau kita kata sistem pengauditan kita telus dan kukuh, tetapi lambat dan lembab, ia tetap membuka ruang kepada ketirisan. Sebab itu audit mesti lebih pantas dan tepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara, hari ini.
Jabatan Audit Negara (JAN) yang ditubuhkan sejak 1905 berperanan penting sebagai institusi semak dan imbang bagi memastikan wang awam diurus secara berhemah.
Dalam konteks reformasi pentadbiran yang sedang digerakkan kerajaan, Anwar menekankan peranan audit sebagai benteng utama mengekang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau turut mengingatkan supaya sistem pengauditan yang diperkenalkan tidak membebankan atau mengelirukan rakyat.
Menurutnya, setiap pembaharuan sering menerima tentangan, terutama daripada pihak yang selesa dengan sistem lama atau yang pernah mendapat manfaat daripada kelemahan terdahulu.
“Persoalannya, bagaimana kita perkenalkan sistem baharu yang tegas tetapi tidak menekan rakyat? Ini menuntut warga audit untuk turun padang, memahami dan menyantuni rakyat. Bagi saya, itu sangat penting,” katanya.
Anwar berkata rakyat perlu diyakinkan bahawa audit bukan alat menghukum, sebaliknya mekanisme proaktif untuk memperbaiki tadbir urus negara.
Jelasnya, kemajuan sesebuah negara bergantung kepada sistem yang berkesan, cekap dan telus, serta mampu dirasai manfaatnya oleh rakyat.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan memberi laluan sepenuhnya kepada JAN untuk menjalankan audit di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan selaras dengan undang-undang sedia ada.
“Sistem audit mesti sentiasa dinamik. Kalau kita kekal dengan cara lama, kita tidak akan ke mana-mana. Kita perlukan keberanian untuk berubah dan bergerak ke hadapan,” katanya.
Menurut Anwar, memperkukuh sistem audit adalah antara langkah penting untuk “menyelamatkan negara” daripada ketirisan berpanjangan dan memastikan masa depan yang lebih berintegriti serta diyakini rakyat.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib