Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Program Quranic Madani yang berlangsung di Bukit Bintang pada Jumaat malam bakal diperluaskan pada masa depan susulan sambutan luar biasa daripada orang ramai walaupun hujan lebat melanda ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, program berkenaan berjaya menjadi medium menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang menerusi pendekatan kerohanian yang membawa mesej kasih sayang dan kemanusiaan sejagat.
Menurut beliau, program itu bukan sekadar himpunan zikir, munajat dan selawat, malah turut membawa nilai perpaduan yang selari dengan ajaran Islam.
“Kita ingin menyampaikan mesej yang universal, mesej kasih sayang. Sebagai rakyat Malaysia yang menghormati antara satu sama lain, kita ingin menyampaikan mesej kasih sayang yang menjadi sunnah Rasulullah SAW,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau berkata, antara fokus utama program itu ialah Kempen Sebarkan Salam yang bertujuan memperkukuh hubungan sesama masyarakat selain menyemai budaya hormat-menghormati dan silaturahim.
Katanya, rakyat Malaysia perlu terus menghidupkan budaya memberi salam, saling membantu dan mengeratkan hubungan kekeluargaan demi membina negara yang aman dan diberkati.
“Moga-moga negara kita akan terus diberkati dan dirahmati serta mencapai tahap seperti disebut dalam al-Quran, ‘Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur’,” katanya.
Program Quranic Madani diperkenalkan sebagai inisiatif mendekatkan masyarakat dengan al-Quran serta memperkukuh nilai kerohanian dalam kehidupan harian.
Penganjurannya di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang turut dilihat sebagai usaha membawa mesej Islam yang sederhana, harmoni dan inklusif kepada masyarakat umum termasuk pelancong luar negara.
Kehadiran ribuan peserta pada program tersebut mencerminkan minat masyarakat terhadap aktiviti kerohanian yang santai tetapi memberi pengisian bermakna, sekali gus menunjukkan pendekatan dakwah berkonsep terbuka semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Anwar berlepas ke Rusia sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar