Pengasas Parti Bersama, Rafizi Ramli.
Syarat lengkap tahanan rumah Najib Razak perlu didedahkan kepada umum supaya rakyat mengetahui bentuk sekatan yang dikenakan serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran, kata Presiden Bersama Rafizi Ramli.
Menurut Rafizi, pendedahan itu penting susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, termasuk berkaitan pelaksanaan hukuman di rumah.
Beliau berkata, rakyat perlu diberi kefahaman jelas mengenai mekanisme tahanan rumah berkenaan dan tidak hanya dimaklumkan mengenai keputusan secara umum.
“Sekurang-kurangnya syarat-syarat tahanan di rumah perlu diumumkan secara terperinci supaya sebarang pelanggaran yang nyata boleh diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Rafizi turut meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta pimpinan Pakatan Harapan (PH), termasuk PKR, DAP dan Amanah, memberi penjelasan kepada rakyat mengenai keputusan berkenaan.
Katanya, penjelasan tidak seharusnya terhad kepada hujah keputusan Lembaga Pengampunan berada di luar kawalan kerajaan atau kepimpinan PH.
“Saya berharap rakyat diberi ruang untuk menzahirkan pandangan mereka selagi dalam batas undang-undang,” katanya.
Menurut Rafizi, ketelusan mengenai syarat tahanan rumah juga membolehkan masyarakat memainkan peranan sebagai pemerhati terhadap pelaksanaan keputusan berkenaan.
“Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat agar pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat yang dikenakan,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata isu tersebut tidak boleh dipisahkan daripada kesan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menurutnya masih meninggalkan kesan kepada sebahagian rakyat Malaysia.
Beliau berkata, tanggungjawab menjaga amanah rakyat dan integriti pentadbiran perlu diteruskan, termasuk memberi kefahaman kepada generasi muda mengenai latar belakang serta kesan skandal berkenaan.
“Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal itu, saya berharap kita sama-sama sedar bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat itu adalah satu kerja berterusan yang tidak akan berhenti,” katanya.
Rafizi berkata beliau menerima keputusan yang dibuat, namun berharap pelaksanaan tahanan rumah dapat berlangsung secara teratur dan tidak mencetuskan polemik baharu.
“Sementara saya berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat, sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi yang lain,” katanya.
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum