Rafizi minta Puad sedar diri dah tua, fikir dosa dan pahala

July 1, 2025 · Politik

Rafizi Ramli membidas pemimpin UMNO, Puad Zarkashi yang memintanya supaya tidak melebih-lebih dalam mengkritik kerajaan kerana takut berakhir di penjara nanti.

Bekas menteri ekonomi itu berkata pada mulanya enggan melayan kritikan Puad kerana berada dalam Kabinet sebelum ini, bagaimanapun pemimpin UMNO itu nampaknya tidak faham bahasa dan tidak menghormati persefahaman berada dalam satu kerajaan.

“Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan, sebagai pimpinan kanan PKR, saya tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari UMNO.

“Sepatutnya, orang berbudi kita berbahasa. Tapi tidak begitulah, sebab manusia ni ada macam-macam jenis,” katanya sinis menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.

Rafizi berkata dirinya tidak pernah gusar dengan ugutan dibuat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, malah bertegas bahawa sepanjang menjadi menteri, dia menjaga integriti dengan tidak mencampuri urusan perolehan.

“Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya akur kepada apa saja yang dikehendaki. Suruh saya diam, saya diam. Suruh saya melompat, saya melompat.

“Sepanjang saya menjadi menteri, saya tidak pernah memanggil KSU (ketua setiausaha) atau pegawai untuk apa-apa yang bersabit perolehan.

“Bidang yang memang kuasa saya (contohnya meluluskan perolehan hartanah Bumiputra melebihi nilai RM20 juta), itu pun saya buat satu jawatankuasa agar ia diputuskan oleh JK, bukannya saya sendiri.

“Insya-Allah, saya tidak pernah diugut, dipanggil atau dilaporkan ada kes,” katanya.

Rafizi turut mengingatkan bahawa dia pernah melalui episod penjara ketika pentadbiran terdahulu yang turut melibatkan Puad.

“Masa Puad Zarkashi jadi KP Jasa, kerajaan itulah dan pimpinan parti dialah yang mengheret saya ke mahkamah sehingga 14 kes, termasuk dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

“Masa itu pun saya reda semuanya dan saya serahkan kepada ketentuan Allah.”

Rafizi turut mengimbau peranan Puad sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini dikenali Jabatan Komunikasi Komuniti (Jkom) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum 2018 (PRU 2018).

Pada ketika itu, katanya, Jasa berperanan mempertahankan perdana menteri ketika itu daripada isu-isu yang beliau sendiri bangkitkan.

“Memang letihlah nak bersilat dengan isu-isu yang saya bawa ke arah PRU 2018.

“Mungkin kerana dilihat tidak berapa berfungsi semasa menjadi KP Jasa, dia digugurkan dari menjadi calon UMNO Parlimen Batu Pahat dalam PRU 2018. Kecoh sebentar dia nak bertanding bebas, dilaporkan sudah beli dua borang pun,” sindirnya.

Rafizi turut menyentuh kemenangan Puad di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 sebagai satu-satunya pencapaian selepas berdekad dalam politik.

“Nasib baik, PKR/PH masuk PRN Johor 2022 dalam keadaan sendu. Menanglah kerusi Rengit. Berpuluh tahun penyertaan Puad Zarkashi dalam politik dan UMNO sejak 1990-an, menang sekali di parlimen dan menang sekali di DUN,” katanya.

Menutup kenyataan, Rafizi menyeru agar Puad tidak terlalu sibuk memikirkan nasib politiknya, sebaliknya bermuhasabah diri.

“Nasihat saya kepada Puad Zarkashi, jangan bimbangkan pengakhiran politik saya.

“Lebih baik fikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua dari saya.”

Berita berkaitan
Pesara rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket pelaburan dalam talian: Bernama
8 jam lalu· Isu semasa
Chean Chung sertai parti Rafizi selepas letak jawatan MP Petaling Jaya
9 jam lalu· Politik
Lee Chean Chung letak jawatan, kerusi Petaling Jaya disahkan kosong
10 jam lalu· Politik
Suri rumah rugi RM18,408 terpedaya job scam
October 4, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
MYEG digantung bukan isu politik: Loke
9 jam lalu · Politik
PN cabar RoS di mahkamah, mahu kepastian sebelum PRN Melaka
10 jam lalu · Politik
Loke kekal pendirian berundur selepas Najib pulang ke rumah
October 4, 2026 · Politik
BN masih runding, keputusan kerjasama tunggu selepas mesyuarat SPR: Zahid
October 4, 2026 · Politik
Menjelang PRN Melaka, J-Kom perkemas strategi komunikasi tangkis berita palsu
October 4, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok