
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
PAS menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut berhubung isu yang dipercayai melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja Perlis dalam rakaman audio tular mirip suara Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, mengesahkan perkara itu namun menegaskan tidak dapat mengulas lanjut memandangkan beliau sendiri tidak mendengar rakaman tersebut.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana saya sendiri tidak mendengar rakaman audio yang tular itu. Saya hanya mendengar orang bercakap mengenainya. Betul atau salah, saya sendiri tidak pasti,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan malam tadi.
Beliau turut menolak kemungkinan penggunaan teknologi pemalsuan suara.
“Kalau kita dengar pun, belum tentu suara itu betul. Zaman kecerdasan buatan (AI) ini bukan boleh diambil kira.
“Jadi kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya
Sebelum ini, media melaporkan kes rakaman suara dipercayai milik seorang pemimpin politik itu telah diambil alih oleh Bukit Aman.
Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim, mengesahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan menyiasat kes tersebut.
Sementara itu, Mohd Shukri memaklumkan sedia memberi kerjasama penuh kepada polis sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan, walaupun enggan mengulas secara terus berkenaan penularan video yang mengandungi audio tersebut.