
Presiden Parti Warisan, Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie Apdal menegaskan rakyat Sabah sendiri yang berhak menentukan siapa Ketua Menteri negeri ini, bukannya pihak di Kuala Lumpur.
Presiden Parti Warisan itu yakin pengundi akan memilih parti yang berani mempertahankan hak dan maruah Sabah daripada sebarang campur tangan luar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Menurut Shafie, kekuatan Warisan tidak hanya terletak pada calonnya, tetapi pada kepercayaan rakyat terhadap perjuangan parti untuk masa depan Sabah yang lebih baik.
“Apa yang paling penting ialah parti. Jika rakyat percaya parti ini mampu membawa masa depan yang lebih baik untuk Sabah, itulah yang mereka akan pilih,” katanya dipetik laporan media selepas sesi bertemu rakyat di Pulau Banggi, Kudat.
Beliau menekankan keputusan akhir terletak di tangan pengundi Sabah.
“Bukan Kuala Lumpur yang menentukan siapa menjadi Ketua Menteri. Penentunya ialah pengundi Sabah yang mesti keluar beramai-ramai untuk menentukan masa depan kita sendiri dan mempertahankan maruah Sabah,” katanya lagi.
Mengenai mandat rakyat, Shafie memberi amaran agar ia tidak dimanipulasi.
“Kita mesti berhati-hati apabila bercakap tentang majoriti dan mandat. Undang-undang tidak boleh diputar untuk menafikan suara rakyat. Jika Warisan mendapat majoriti, itu adalah suara rakyat dan tiada siapa boleh menafikannya,” ujarnya.
Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17ditetapkan pada 29 November ini, dengan penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.