Naib Presiden PKR, R Ramanan.
Naib Presiden PKR, R Ramanan, menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang cuba mengaitkan dirinya dengan seorang ahli perniagaan, Victor Chin, dan menyifatkan tuduhan itu sebagai berniat mencemarkan imej parti serta kerajaan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menegaskan langsung tidak mengenali Chin, apatah lagi mempunyai sebarang urusan kewangan dengannya.
“Saya tidak pernah bertemu dengannya, tidak mengenalinya dan tidak pernah bercakap dengannya. Bagaimana saya boleh menerima RM9.5 juta daripada seseorang yang saya tidak pernah jumpa?” katanya semasa sidang media hari ini.
Kontroversi ini tercetus susulan dokumen setebal 40 muka surat yang didedahkan Chin, yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran tunai RM10 juta bagi menyelesaikan isu perniagaannya.
Chin turut mendakwa wujud seorang individu dikenali sebagai ‘Mr R’ yang didakwa menjadi orang tengah dalam sindiket pengambilalihan paksa syarikat, termasuk melibatkan NexG Bhd.
Mengulas perkara itu, Ramanan mencabar Chin supaya mendedahkan identiti sebenar individu yang dimaksudkan.
“Hanya Chin boleh jawab siapa ‘Mr R’ itu. Tetapi saya sedar ada pihak cuba mengaitkan saya. Kononnya berjuta-juta saham dipindahkan kepada saya, sedangkan hakikatnya saya tidak memiliki sebarang saham awam – sifar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan ketua ranting PKR di Sungai Buloh untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Menurutnya, dakwaan yang berubah-ubah menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti Chin.
“Sebelum ini dia kata polis memburunya, kemudian melibatkan Bank Negara Malaysia, dan kini seorang Ahli Parlimen pula. Setiap hari ceritanya berbeza,” katanya.
Ramanan berkata langkah untuk tampil memberi penjelasan hari ini bagi mengelakkan kekeliruan serta sebarang cubaan memecahbelahkan parti.
“Sebagai naib presiden, saya perlu bersuara untuk menghalang mana-mana pihak daripada merosakkan perpaduan parti,” katanya.
Pada masa sama, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata parti itu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus menyebarkan dakwaan tidak berasas. “
Dakwaan ini dibuat dengan niat tersembunyi, termasuk oleh individu yang terdesak untuk membersihkan diri daripada kesalahan sendiri,” katanya.
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
Rumah Jamal disita: 14 barang akan dilelong 22 Jun
Bila Samsuri nak lantik Pengerusi PN Negeri Sembilan, PRN dah dekat: Sanjeevan
DAPSY bidas UMNO Johor, dakwa bersikap hipokrit
PAS bakal umum kerjasama dengan Hamzah selepas ‘ceraikan’ Bersatu
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi