Rayer persoal penahanan dua podcaster, gesa polis jelaskan tindakan

August 8, 2026 · Politik

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan tindakan polis menahan dua podcaster, Brian Tan dan Shamsul Saad, sambil menggesa Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara memberikan penjelasan mengenai sebab kedua-duanya ditahan.

Rayer berkata, orang ramai berhak mengetahui kandungan atau isu yang dibincangkan dalam podcast berkenaan sehingga membawa kepada tindakan penahanan oleh polis.

“Podcasting bukan satu jenayah. Wacana politik tidak sepatutnya dikawal oleh ketakutan terhadap tindakan balas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perbincangan politik yang kontroversi, tidak selesa atau mengandungi pandangan politik yang tegas tidak seharusnya secara automatik dijadikan kes jenayah sehingga membawa kepada penangkapan dan penahanan.

Beliau berkata tindakan itu juga menimbulkan persoalan mengenai prinsip reformasi yang sering ditekankan kerajaan.

Dalam pada itu, Rayer mempersoalkan tindakan polis terhadap pendakwah Ridhuan Tee yang didakwanya masih bebas walaupun beberapa kenyataan di Facebook sebelum ini mencetuskan kontroversi berkaitan isu agama dan kaum.

Katanya, laporan polis turut dibuat anggota PKR, Rozan Azen Mat Rasip terhadap Ridhuan Tee susulan satu hantaran yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Apa tindakan polis terhadap laporan itu? Mengapa Ridhuan Tee masih bebas dan boleh terus membuat hantaran di Facebook?” soalnya.

Rayer turut mempersoalkan tindakan terhadap Ridhuan Tee susulan dakwaan beliau melabel penyokong Melayu Pakatan Harapan sebagai “barua” dan penyokong bukan Melayu gabungan itu sebagai “kafir harbi”.

“Berapa banyak laporan polis perlu dibuat sebelum Ridhuan Tee ditahan?” katanya.

Selain itu, Rayer turut meminta polis menjelaskan perkembangan siasatan terhadap laporan yang dibuatnya berkaitan Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli.

Beliau mendakwa Shamsulkahar, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, mengaitkan DAP dengan imej babi yang disunting memakai pakaian diraja serta menuduh parti itu menyasarkan Sultan Selangor.

Rayer menyifatkan kenyataan tersebut sebagai serius dan mendakwa ia berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.

“Kenapa Ahli Parlimen Jempol daripada UMNO masih belum ditahan walaupun saya mendakwa ucapannya berniat jahat, melulu, berbahaya dan memecahbelahkan masyarakat?” katanya.

Rayer menegaskan Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang dan tiada individu sepatutnya dilihat berada di atas undang-undang.

“Penguatkuasaan terpilih oleh polis mesti dihentikan serta-merta,” katanya.

Kenyataan Rayer itu dibuat ketika isu kebebasan bersuara, kandungan politik di media sosial serta tindakan penguatkuasaan terhadap kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum terus menjadi perhatian awam.

Berita berkaitan
Polis rakam keterangan Hadi, telefon pentadbir Facebook diambil: Laporan
August 22, 2026· Isu semasa
Aziz Bari cabar PAS bentuk kabinet bayangan, bukan hanya pandai kritik
August 22, 2026· Politik
Dakwa Malaysiakini bawa ‘ajaran sesat’, Aziz Bari bidas tindakan Hadi
August 21, 2026· Politik
Kabinet lulus 17 syor penambahbaikan perkukuh keselamatan KLIA: Bernama
August 20, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
18 jam lalu · Politik
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
19 jam lalu · Politik
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
19 jam lalu · Politik
PAS dan Tebuk Atap 2.0: UMNO masih tak berganjak pilih Kerajaan Perpaduan
23 jam lalu · Politik
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
24 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok