Ringgit dijangka diniaga sekitar 4.25–4.26 berbanding dolar AS: Laporan

August 2, 2025 · Isu semasa

Ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.25 hingga 4.26 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, berikutan data Pekerjaan Bukan Perladangan (NFP) negara maju itu bagi Julai yang lebih lemah daripada jangkaan awal.

Keadaan itu mungkin mendorong Rizab Persekutuan AS (Fed) membuat pertimbangan mengenai kemungkinan menurunkan pemotongan kadar faedah dalam mesyuarat pada September.

Data NFP bagi Julai hanya mencatat 73,000 pekerjaan yanglebih rendah atau di bawah anggaran konsensus sebanyak 106,000.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, data terbaharu NFP itu berkemungkinan meningkatkan lagi sentimen terhadap ringgit susulan jangkaan penurunan Kadar Dana Persekutuan pada September.

Beliau juga menyifatkan angka NFP pada Mei dan Jun sebelumnya telah disemak turun dengan ketara, sekali gus mengukuhkan lagi jangkaan terhadap potensi penurunan kadar faedah berkenaan.

“Pandangan sedemikian sejajar dengan dua ahli yang tidak bersetuju sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) lepas yang menyokong pengurangan kadar sebanyak suku mata.

“Unjuran terhadap Kadar Dana Fed ini adalah pertimbangan utama dalam kalangan peniaga kerana Fed dilihat tidak memaparkan pendirian tegas dalam melaksanakan pelonggaran dasar monetari selanjutnya sewaktu mesyuarat FOMC baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas keputusan AS menurunkan tarif kepada 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia, Mohd Afzanizam melihatnya sebagai berita baik berikutan impaknya yang dapat diminimumkan berbanding tarif sebelum ini pada 25 peratus.

“Masih wujud peluang untuk Malaysia terus berbincang semula dengan AS berpotensi mencapai perjanjian lebih baik dan menjadi faktor positif kepada ringgit dalam jangka sederhana,” katanya.

Di peringkat tempatan, minggu ini menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 31 Julai lepas yang menumpukan usaha memacu pertumbuhan mampan berasaskan penciptaan nilai merentasi semua sektor.

Daripada jumlah peruntukan RM430 bilion, Anwar berkata, lebih separuh atau RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

Mohd Afzanizam berkata, RMK13 dijangka menyokong ringgit dalam jangka sederhana hingga panjang.

Di bawah rancangan ini, perbelanjaan pembangunan telah ditingkatkan kepada RM430 bilion yang dijangka dapat merangsang permintaan domestik serta menggalakkan aktiviti pelaburan, sekali gus menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar AS pada paras 4.2750/2815 berbanding 4.2195/2245 pada minggu sebelumnya.

Namun, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8407/8452 daripada 2.8529/8565 pada Jumaat minggu lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.8752/8826 daripada 4.9507/9566 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6208/6293 daripada 5.6786/6853 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean, ringgit mencatat prestasi yang kebanyakannya positif.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2907/2960 daripada 3.2937/2978 pada akhir minggu lepas, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0058/0319 daripada 13.0268/0478 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.36 daripada 7.38/7.40 minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 258.8/259.4 daripada 258.5/258.9 pada minggu sebelumnya. – Bernama

Berita berkaitan
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
4 jam lalu· Isu semasa
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
October 23, 2026· Isu semasa
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
October 23, 2026· Isu semasa
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
October 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
7 jam lalu · Isu semasa
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
7 jam lalu · Isu semasa
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
10 jam lalu · Isu semasa
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
12 jam lalu · Isu semasa
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok