Kedudukan ekonomi negara.
Malaysia dilihat sebagai antara ekonomi ASEAN yang paling mampu bertahan daripada kesan negatif konflik di Asia Barat, menurut penganalisis ekonomi.
Penganalisis RHB Research Alexander Chia, berkata struktur ekonomi negara yang unik membantu mengurangkan tekanan luaran, khususnya dalam sektor tenaga.
Walaupun Malaysia mengimport minyak mentah dari Asia Barat, kedudukannya sebagai pengeluar minyak serta memiliki kapasiti penapisan memberi kelebihan tambahan.
“Di seluruh ASEAN, kami melihat Malaysia sebagai ekonomi yang paling kurang terjejas secara negatif,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Beliau menjelaskan, konflik yang sedang berlaku muncul ketika ekonomi global masih menunjukkan daya tahan asas.
Sebelum ketegangan meningkat, momentum pertumbuhan di kebanyakan rantau utama kekal stabil, disokong oleh keadaan kewangan yang semakin longgar, peningkatan perdagangan dan sentimen pelaburan yang tidak banyak terjejas.
Menurut beliau, unjuran sehingga 2026 menunjukkan pertumbuhan global mungkin perlahan, namun tidak menjurus kepada kemelesetan.
Namun begitu, risiko tetap wujud terutamanya melalui saluran harga tenaga, perdagangan dan keyakinan pasaran.
Konflik di Asia Barat turut memberi perhatian kepada kepentingan strategik Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dunia.
Ketegangan yang melibatkan Iran serta beberapa negara lain di rantau Teluk telah mengganggu aliran perdagangan tenaga dan meningkatkan tekanan terhadap harga minyak global.
“Peningkatan harga minyak sejak sebulan lalu sudah cukup untuk memberi tekanan kepada pertumbuhan global dan meningkatkan risiko inflasi,” katanya.
Sehubungan itu, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global telah disemak turun kepada 3.3 peratus berbanding 3.5 peratus sebelum ini.
Dalam konteks serantau, prestasi eksport Malaysia dan Singapura menunjukkan peningkatan kukuh, didorong oleh permintaan dalam sektor elektronik dan pembuatan.
Sebaliknya, momentum eksport di Indonesia dan Thailand masih perlahan.
Chia menambah, sekiranya ketegangan geopolitik mereda, ekonomi ASEAN berpotensi mencatat pertumbuhan lebih kukuh, khususnya melalui sektor luaran.
Namun buat masa ini, kestabilan asas ekonomi menjadi benteng utama dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
Pemandu bas, teman wanita direman kes video tular riba sambil memandu
Tin makanan jadi helah seludup syabu bernilai RM3 juta, lima ditahan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan