Kedudukan pengukuhan ringgit mencerminkan kestabilan ekonomi negara.
Pengukuhan nilai ringgit kepada RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat, paras tertinggi dalam hampir lapan tahun, dilihat sebagai tanda keyakinan pasaran yang semakin meningkat terhadap kekuatan asas ekonomi Malaysia walaupun dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi berkata perkembangan itu menunjukkan Malaysia berada di landasan ekonomi yang stabil dan semakin diyakini pelabur.
Menurutnya, kestabilan politik dan hala tuju dasar ekonomi yang jelas membantu memulihkan keyakinan pasaran.
“Pengurusan perbelanjaan negara secara berdisiplin, usaha membanteras ketirisan dan pengukuhan tadbir urus mewujudkan persekitaran lebih kondusif kepada pelabur serta komuniti perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, pengukuhan ringgit turut memberi kesan langsung kepada rakyat apabila kos import barangan asas dapat dikawal, sekali gus membantu menstabilkan harga.
“Nilai mata wang yang lebih kukuh memberi ruang kepada kerajaan untuk memperluas bantuan sosial tanpa menambah beban kewangan rakyat,” katanya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia memberi fokus kepada pembaharuan fiskal, pengukuhan tadbir urus serta usaha menarik pelaburan bernilai tinggi, khususnya dalam sektor teknologi, pembuatan maju dan tenaga boleh diperbaharui.
Langkah ini dilihat penting dalam usaha menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan.
Ahmad Farhan berkata peningkatan keyakinan pelabur asing membuka peluang pekerjaan baharu serta memberi manfaat kepada golongan muda dan usahawan tempatan.
“Apabila lebih banyak syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, peluang ekonomi untuk rakyat juga semakin luas,” katanya.
Menurut beliau, pengukuhan berterusan ringgit membuktikan dasar ekonomi yang dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti mampu memulihkan keyakinan pasaran serta membawa manfaat langsung kepada rakyat.
“Ini bukan sekadar angka dalam pasaran kewangan, tetapi bukti usaha kerajaan mula menunjukkan hasil,” katanya.
Pasangan tular kes lucah di jirat Cina dibebaskan
Konflik Asia Barat perlu dihentikan, elak kesan ekonomi melarat: Sultan Nazrin
Jurutera rugi lebih RM27,000 akibat penipuan seks dalam talian
MCMC siasat individu buat video palsu berhubung SPRM dan Azam Baki
Tsunami pertama landa Pantai Iwate selepas gempa kuat di Jepun
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan