Sabah dan Sarawak menerima peruntukan tertinggi dalam Belanajwan 2026 dibentang Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2026, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memacu kemajuan di kedua-dua negeri selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Perdana Menteri berkata peruntukan pembangunan untuk Sabah telah dinaikkan kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala peruntukan untuk Sarawak terus meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada tahun yang sama.
Bukan itu sahaja, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak juga telah ditingkatkan kepada RM600 juta setahun bermula tahun ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kelangsungan bekalan elektrik yang stabil di Sabah.
“Kendatipun kawal selia bekalan elektrik diserah sepenuhnya kepada Sabah Januari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan,” katanya.
Beliau juga mengumumkan peruntukan besar untuk projek infrastruktur kritikal.
“Untuk kelangsungan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link,” tambahnya.
Bagi menangani isu bekalan air, sebanyak RM1 bilion telah disediakan untuk projek air di Sabah termasuk pemasangan dan naik taraf paip di beberapa kawasan, yang dijangka siap tahun hadapan.
Projek-projek infrastruktur besar lain juga diteruskan, termasuk Pan Borneo Sabah dengan peruntukan RM1.67 bilion tahun hadapan, dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang dijangka siap mengikut fasa masing-masing.
“Secara keseluruhan, kesemua projek prasarana rakyat ini melibatkan kos mencecah RM48 bilion,” jelasnya.
Selain infrastruktur fizikal, inisiatif digital juga tidak diabaikan dan kerajaan akan membangunkan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan internet di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung.
Bagi membantu peniaga kecil, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk menambah dan menaik taraf tapak serta ruang niaga kepada peniaga Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM3.93 hingga RM3.98: Laporan
SUHAKAM bantah guna SOSMA terhadap kanak-kanak
Penipuan pelaburan cecah RM188 juta awal tahun ini: Polis
Konflik Asia Barat dijangka beri tekanan inflasi kepada negara: Akmal Nasrullah
Ekonomi negara masih kukuh hadapi krisis Asia Barat: Zafrul
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan