Saksi: Sebahagian RM13.8 juta disumbang kepada Bersatu

July 14, 2026 · Politik

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sebahagian daripada wang berjumlah RM13.8 juta yang dipindahkan sebuah syarikat pembinaan kepada syarikat milik ahli keluarga akhirnya disumbangkan kepada Bersatu.

Pengarah Sutracom Sdn Bhd (SSB), Shahrin Shamsuddin, berkata syarikatnya membuat sembilan transaksi berjumlah RM13.8 juta kepada Mamfor Sdn Bhd, milik abangnya, Shahradzi, antara 13 September 2021 hingga 14 November 2022.

Menurut saksi pendakwaan ke-15 itu, tujuan asal pemindahan berkenaan adalah bagi menyelesaikan hutang lapuk serta menampung perbelanjaan operasi Mamfor, Majulia Sdn Bhd, SSB dan beberapa syarikat lain milik keluarganya.

“Saya hanya tahu sebahagian wang yang dipindahkan ke Mamfor Sdn Bhd disumbangkan kepada Bersatu ketika perbincangan keluarga selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak pasti berapa jumlah yang digunakan untuk membayar hutang, perbelanjaan operasi atau disumbangkan kepada Bersatu. Saya memberi kepercayaan kepada abang saya untuk menguruskan penyelesaian hutang dan perbelanjaan syarikat keluarga,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.

Menjawab soalan pendakwa, Shahrin menegaskan tidak pernah memberi kebenaran kepada abangnya untuk menyalurkan wang itu kepada Bersatu.

“Tiada,” katanya ketika ditanya sama ada beliau membenarkan wang tersebut dipindahkan kepada parti politik berkenaan atau bersetuju ia dijadikan sumbangan.

Shahrin turut mengesahkan beliau sendiri menguruskan transaksi pemindahan wang secara dalam talian.

Bagaimanapun, ketika disoal balas peguam K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin Yassin, saksi bersetuju Muhyiddin tidak mempunyai sebarang kaitan dengan SSB atau Mamfor, selain tiada kepentingan kewangan dalam kedua-dua syarikat itu.

Dalam keterangannya, Shahrin turut mengesahkan kewujudan surat bertarikh 5 Mac 2021 yang dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri bagi memohon pertimbangan menyertai tender prakelayakan projek Membina dan Menaik Taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 di Klang.

Beliau berkata, cadangan menghantar surat itu dibuat bapanya dalam satu perbincangan keluarga, manakala surat berkenaan disediakan dan ditandatangani oleh abang sulungnya sebagai amalan biasa memohon pertimbangan bagi projek kerajaan.

Shahrin berkata, SSB kemudian menerima e-mel daripada Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan pada 26 Mac 2021 memaklumkan syarikat itu disenaraikan untuk penilaian prakelayakan.

Beliau turut mengesahkan SSB menerima pelawaan tender pada 26 November 2021 sebelum memperoleh Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Kerja Raya pada 8 Oktober 2022 bagi melaksanakan projek bernilai RM605.2 juta itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

Muhyiddin sedang dibicarakan atas tujuh pertuduhan membabitkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan projek Jana Wibawa.

Beliau sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan perbicaraan masih berjalan.

Berita berkaitan
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
10 jam lalu· Politik
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
16 jam lalu· Politik
BN-PN di Negeri Sembilan mengelirukan rakyat
July 24, 2026· Politik
Kes tender PDRM: Saksi dedah bekas pegawai Hamzah rasa kecewa berhubung bayaran RM2 juta
July 23, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
8 jam lalu · Politik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
8 jam lalu · Politik
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
8 jam lalu · Politik
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
9 jam lalu · Politik
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
11 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
14 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok