Kes saman fitnah Asyraf Wajdi terhadap Mas Ermieyati Samsudin.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin memohon maaf atas kenyataan berunsur fitnah terhadap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Melaka melalui Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim hari ini telah merekodkan penghakiman persetujuan, Mas Ermieyati mengakui kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah tidak benar dan berunsur fitnah terhadap Asyraf Wajdi serta MARA.
Defendan turut bersetuju untuk memohon maaf secara bertulis, menarik balik serta memadam semua kandungan berkaitan di platform media sosial, dan membayar ganti rugi berjumlah RM50,000.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO selepas keputusan tersebut diumumkan juga membuat keputusan untuk menyalurkan wang ganti rugi sebanyak RM50,000 yang diterimanya ke dalam akaun Wakaf MARA bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selaras dengan komitmennya sebelum ini untuk tidak menggunakan wang berkenaan bagi kepentingan peribadi, sebaliknya memberi manfaat kepada golongan memerlukan termasuk pelajar miskin, daif dan anak yatim.
“Seperti yang saya janjikan, setiap sen daripada RM50,000 ini tidak akan digunakan untuk diri saya.
“Saya telah meminta pengurusan MARA supaya wang itu dimasukkan ke dalam akaun Wakaf MARA sebaik sahaja diterima,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berharap kes ini menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya di ruang awam dan media sosial.
“Semoga ini menjadi pengajaran supaya kita semua lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan yang boleh menjejaskan reputasi individu serta institusi,” katanya.
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan