
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menang saman fitnah terhadap penulis bebas Murray Victor Hunter.
Baru-baru ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap Murray Hunter ekoran fitnah dan maklumat palsu yang berterusan disebarkan penulis berasal dari Australia tersebut.
Tindakan ini disalahertikan oleh sesetengah pihak sebagai satu bentuk pembaziran wang pembayar cukai dan pencabulan terhadap kebebasan bersuara.
Namun, tanggapan sedemikian tidak tepat dan mengaburi tuntutan sebenar iaitu mempertahankan maruah institusi negara daripada serangan fitnah yang berunsur palsu.
Perlu difahami kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan kita bukanlah satu hak yang mutlak tanpa batasan.
Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan hak ini boleh dihadkan demi menjaga ketenteraman awam dan akhlak.
Apa yang dilakukan oleh Murray Hunter dalam tulisannya telah melangkaui sempadan kritikan yang sihat dengan kenyataan-kenyataannya didapati mengandungi tuduhan serius dan tidak berasas, bukan sekadar menyentuh perasaan tetapi aktif mencemarkan nama baik dan melemahkan kepercayaan awam terhadap sebuah institusi yang memikul tanggungjawab penting.
Saranan MCMC hanya perlu mengeluarkan kenyataan penafian adalah suatu pandangan yang naif.
Apabila berdepan dengan kempen disinformasi yang berterusan dan disebarkan merentas sempadan, kenyataan media semata-mata tidak memadai.
Tindakan undang-undang merupakan langkah yang wajar dan perlu untuk membuktikan kesalahan di mahkamah, membersihkan nama, dan sekaligus menjadi pengajaran kepada pihak lain yang mungkin mempunyai niat serupa.
Tuduhan menggunakan wang pembayar cukai untuk tujuan ini juga adalah tidak berasas, dan menjadi tanggungjawab asas mana-mana agensi kerajaan, yang dibiayai oleh rakyat, untuk mempertahankan kredibiliti dan keupayaan operasinya.
Membiarkan fitnah dan kenyataan palsu berleluasa tanpa sebarang tindakan balas undang-undang akan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk kepada keyakinan awam dan nama baik negara dalam jangka panjang.
Justeru, langkah MCMC ini harus dilihat sebagai satu pelaburan untuk mengekalkan kedaulatan undang-undang dan integriti institusi negara.
Isu teras di sini bukanlah tentang kebebasan bersuara, tetapi tentang mempertahankan kebenaran daripada diserang oleh disinformasi yang berniat jahat.
Tindakan MCMC adalah satu langkah membela prinsip keadilan dan ketelusan, menghalang mana-mana pihak, sama ada dalam atau luar negara, daripada bebas memfitnah dan merosakkan institusi yang berkhidmat untuk rakyat Malaysia.