Perdana Menteri Anwar mengulas isu menyentuh kenyataan dikeluarkan terhadap Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin sebelum ini.
Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin, sekiranya disahkan terdapat kesilapan dalam dakwaan bahawa Muhyiddin mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Perdana Menteri berkata perlu menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan maaf.
“Saya tidak ada masalah untuk memohon maaf sekiranya MCMC mengesahkan bahawa sumber yang digunakan dalam dakwaan tersebut tidak tepat. Tetapi biarlah kita tunggu keputusan siasatan mereka dahulu,” jelas Anwar semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengulas soalan tambahan daripada Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempersoalkan sama ada Perdana Menteri bersedia meminta maaf kepada Muhyiddin berkenaan isu tersebut.
Anwar turut menyentuh sikap pembangkang yang menurutnya sering membuat tuduhan tanpa asas tetapi enggan meminta maaf.
“Saya belum pernah mendengar ketua pembangkang atau rakan-rakannya memohon maaf walaupun telah jelas membuat fitnah berhari-hari,” tegasnya.
Isu ini tercetus minggu lalu apabila Muhyiddin menuntut Anwar memohon maaf berhubung kenyataan yang mendakwa beliau mempertahankan kepentingan warga asing dalam isu subsidi minyak.
Muhyiddin mengugut akan membawa usul di Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya permintaan maaf tidak dipenuhi.
Anwar menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan MCMC untuk menyiasat Muhyiddin secara peribadi. Sebaliknya, siasatan itu adalah untuk mengesahkan ketepatan sumber maklumat yang digunakan.
“Terdapat salah faham seolah-olah MCMC disuruh menyiasat Muhyiddin. Tidak. Arahan saya adalah untuk menyiasat sumber asal maklumat tersebut. Jika sumber itu tidak sahih, maka dakwaan itu juga tidak benar,” jelas Anwar.
Beliau menekankan pentingnya menunggu keputusan rasmi MCMC sebelum membuat sebarang kesimpulan atau tindakan lanjut.
Khairy kembali UMNO sebab nak bertanding kerusi pilihan raya saja: Rafizi
Jangan hanya semasa senang saja nak bersama dengan BN: Zahid
Hisham bersyukur penggantungan ditarik balik, sedia bantu UMNO kembali
ADUN PAS minta MB Perlis jelaskan sebab tangguh sidang DUN
Khairy dan Hishammuddin antara yang diterima balik masuk UMNO: Asyraf Wajdi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan