Stesen minyak.
Penguatkuasaan sekatan penggunaan kad kredit dan debit asing untuk pembelian petrol RON95 di terminal layan diri stesen minyak mula dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara hari ini, sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkemas sistem subsidi bahan api.
Langkah ini diperkenalkan susulan tekanan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada kos subsidi negara, selain memastikan hanya rakyat tempatan menikmati manfaat RON95 yang disubsidi kerajaan.
Tinjauan di beberapa negeri terutama kawasan sempadan mendapati Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan sejak awal pagi.
Pengusaha stesen minyak juga dilihat bersedia dan mematuhi arahan baharu tersebut.
Di Sarawak, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam berkata kerjasama pengusaha stesen minyak amat memberangsangkan.
Namun, beliau menegaskan keperluan menambah baik penyampaian maklumat kepada pengguna.
“Antara cadangan termasuk memperbesar paparan arahan dan menggunakan bahan grafik supaya maklumat lebih jelas serta mudah difahami,” katanya.
Sebanyak 283 stesen minyak di negeri itu akan terus dipantau.
Di Johor, seramai 180 anggota penguat kuasa digerakkan bagi pemeriksaan di kawasan panas dan pintu sempadan.
Pengarah KPDN negeri, Lilis Saslinda Pornomo berkata rondaan harian serta pemeriksaan mengejut akan dipertingkat.
“Kita juga membuat hebahan dan peringatan kepada pemilik kenderaan asing mengenai penguatkuasaan ini,” katanya.
Di Kelantan, pengusaha stesen minyak menyambut baik langkah tersebut.
Seorang pengurus stesen minyak di Tumpat, Ku Muhammad Farid Aidil Ku Din berkata semua kakitangan telah diberi taklimat.
“Langkah ini sangat kami alu-alukan bagi memastikan RON95 dinikmati rakyat tempatan sepenuhnya,” ujarnya.
Situasi sama dilaporkan di Kedah dan Perlis, dengan penguatkuasaan diperkukuh melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk polis dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan.
Tiada kenderaan asing dilihat mengisi RON95 di kawasan sempadan utama setakat tinjauan dilakukan.
Secara keseluruhan, pelaksanaan hari pertama berjalan lancar dengan pendekatan advokasi turut diberi keutamaan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap peraturan baharu ini.
Kerajaan kaji pengecualian PTPTN untuk graduan kelas pertama
RM14 bilion wang tidak dituntut, ramai tak sedar: Amir Hamzah
Winbox, Alibaba antara sindiket judi dalam talian terbesar dalam pantauan polis
Pengerusi TH terima Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan USIM
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum