Selangor tutup ladang babi, bekalan daging import sepenuhnya: Amirudin

February 12, 2026 · Isu semasa

Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu penternakan babi serta mempercepatkan penutupan semua ladang sedia ada di negeri itu, sekali gus menjadikan bekalan daging babi bergantung sepenuhnya kepada import.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) susulan titah Sultan Selangor yang tidak memperkenankan aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah di negeri berkenaan.

Menurut beliau, sejak Januari lalu, kerajaan negeri sudah menghentikan pengeluaran lesen baharu dan memberi tumpuan kepada pengosongan kawasan ladang sedia ada terutama di Tanjong Sepat, Kuala Langat.

“Kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor sebagai menjunjung titah Sultan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, sebelum ini pembaharuan lesen ladang dibuat setiap enam bulan berdasarkan syarat yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dengan pembaharuan terakhir dilakukan pada Januari lalu.

Amirudin menjelaskan, penutupan ladang sedia ada akan dilakukan secara berperingkat tetapi pada kadar lebih pantas dengan kerjasama JPV Selangor.

Beliau berkata ketika ini kira-kira 70 peratus keperluan daging babi masyarakat bukan Islam di Selangor diperoleh melalui import dari negeri lain.

Namun selepas keputusan MMKN, keseluruhan bekalan akan diimport sepenuhnya oleh industri berkaitan. Sebarang kelulusan lesen import pula akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa sedia ada.

Keputusan ini dibuat bagi menjaga sensitiviti masyarakat serta kebimbangan terhadap kesan penternakan babi kepada alam sekitar seperti pencemaran air dan bau.

“Dengan keputusan ini, polemik berkaitan isu babi perlu dihentikan supaya keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Selangor terus terpelihara,” katanya.

Isu penternakan babi di Selangor sebelum ini sering menjadi perbincangan awam kerana faktor alam sekitar dan sensitiviti masyarakat setempat.

Kerajaan negeri sebelum ini turut melaksanakan pemodenan ladang melalui sistem penternakan moden, namun tekanan sosial dan kebimbangan pencemaran terus menjadi isu berpanjangan.

Berita berkaitan
Taburan hujan hingga 100mm punca banjir 23 kawasan di Selangor: Bernama
November 18, 2026· Isu semasa
Belanjawan Selangor: Amirudin umum bonus dua bulan gaji penjawat awam
November 13, 2026· Isu semasa
Daiso labur RM1.2 bilion, bina hab pengedaran terbesar dunia di Malaysia: PMX
November 5, 2026· Isu semasa
MCMC siasat akaun Facebook hina Sultan Selangor
November 3, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
8 jam lalu · Isu semasa
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
8 jam lalu · Isu semasa
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
9 jam lalu · Isu semasa
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
10 jam lalu · Isu semasa
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
8 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok