Selat Hormuz ditutup lagi, harga minyak dunia melonjak: Laporan

June 22, 2026 · Isu semasa

Harga minyak dunia kembali meningkat apabila Iran sekali lagi menutup Selat Hormuz, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global di tengah-tengah ketegangan yang berterusan antara Tehran dan Washington.

Harga minyak mentah Brent meningkat 54 sen atau 0.67 peratus kepada AS$81.11 setong dalam dagangan awal Isnin, selepas mencecah paras tertinggi AS$82.30 setong.

Sementara itu, minyak mentah penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI), melonjak AS$2.02 atau 2.64 peratus kepada AS$78.62 setong.

Peningkatan itu berlaku selepas data perkapalan menunjukkan jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara susulan keputusan Iran menutup semula laluan strategik tersebut.

Tehran mendakwa tindakan itu diambil kerana Israel dan AS melanggar syarat perjanjian damai sementara yang dimeterai sebelum ini.

Ketua Penyelidikan Tenaga MST Marquee, Saul Kavonic berkata, jangkaan pasaran Selat Hormuz akan dibuka semula pada masa terdekat ternyata meleset.

“Jangkaan pasaran bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula ternyata terlalu awal. Iran berkemungkinan terus menggunakan laluan itu sebagai alat tekanan dalam rundingan yang sedang berlangsung,” katanya.

Ketegangan turut meningkat apabila Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk melancarkan semula serangan terhadap Iran, walaupun rundingan pertama antara pegawai kedua-dua negara di bawah perjanjian damai sementara telah berlangsung.

Pada masa sama, Iran mendakwa Washington gagal memenuhi komitmennya untuk menghentikan konflik yang melibatkan sekutunya di Lubnan.

Keadaan di Lubnan turut menambah kebimbangan pasaran apabila sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel sehari selepas gencatan senjata dengan Hezbollah berkuat kuasa.

Penganalisis pasaran IG, Tony Sycamore berkata, perkembangan tersebut boleh menjejaskan usaha mengekalkan gencatan senjata dan membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz.

“Situasi di Lubnan terus menimbulkan ancaman serius terhadap gencatan senjata dan pembukaan semula Selat Hormuz,” katanya.

Bagaimanapun, kenaikan harga minyak kali ini berlaku selepas pasaran merekodkan kejatuhan lebih lapan peratus minggu lalu susulan jangkaan peningkatan bekalan minyak global.

Antara faktor yang menekan harga sebelum ini ialah pelepasan kargo minyak yang terkandas di rantau Teluk serta kemungkinan AS melonggarkan sekatan terhadap eksport minyak Iran sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang sedang dirundingkan.

Menurut Ketua Syarikat Minyak Nasional Iran, Hamid Bovard, lebih 25 juta tong minyak negara itu telah berjaya dieksport sejak awal minggu lalu.

Selain Iran, beberapa negara pengeluar utama lain termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Iraq turut meningkatkan bekalan kepada pelanggan mereka.

Iraq juga dilaporkan merancang meningkatkan pengeluaran minyak secara berperingkat kepada antara 4.2 juta hingga 4.3 juta tong sehari.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan paling penting bagi perdagangan minyak dunia, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global melalui kawasan itu setiap hari.

Berita berkaitan
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
October 24, 2026· Isu semasa
KPDN tunggu analisis 27 sampel petrol disyaki bercampur air
October 18, 2026· Isu semasa
Harga RON97, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen seliter mulai esok: Bernama
October 7, 2026· Isu semasa
Harga minyak tanpa subsidi naik 35 sen susulan ketegangan Asia Barat: MOF
September 16, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
11 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
11 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
11 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
11 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok