Selepas Rafizi, seorang lagi menteri PKR letak jawatan bermula Julai

May 28, 2025 · Politik

Tidak lama selepas pengumuman peletakan jawatan Rafizi Ramli, terbaharu seorang lagi menteri juga mengikut jejak dengan mengumumkan peletakan jawatannya.

Bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan media hari ini juga mengambil langkah sama mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan surat sudah dihantar kepada Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu lagi, peletakan jawatan Nik Nazmi itu akan berkuatkuasa pada 4 Julai 2025.

Berikut kenyataan penuh Nik Nazmi:

Saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa pada 4 Julai 2025. Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025.

Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022—Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025), saya telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.

Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi. Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.

Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia. Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.

Pasukan NRES telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas, dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen.

Namun begitu, saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.

Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.

Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang.

Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa.

Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: “Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam.”

Berita berkaitan
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
11 jam lalu· Politik
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
October 22, 2026· Politik
PKR nafi kaitan dengan isu PN, desak Mukhriz mohon maaf
October 20, 2026· Politik
Fuziah: Rundingan kerusi PH selesai, kerjasama belum muktamad
October 18, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
PRN Melaka: PAS nafi akan umum calon sepentas dengan BN
11 jam lalu · Politik
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
12 jam lalu · Politik
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
12 jam lalu · Politik
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
16 jam lalu · Politik
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
16 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok