Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi.
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempersoalkan tuntutan supaya Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki, digantikan, termasuk dakwaan calon Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mahu mengambil alih jawatan itu.
Ahli MKT UMNO, Hasmuni Hassan berkata, MARA menunjukkan perubahan ketara di bawah kepimpinan Asyraf, terutama dari segi tatakelola, kewangan, pendidikan dan pembangunan ekonomi Bumiputera.
Beliau menyifatkan desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan beberapa perwakilan PKR supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggantikan Asyraf sebagai Pengerusi MARA sebagai tidak berasas.
“Saya nak respon tuntutan AMK dan perwakilan PKR supaya Perdana Menteri menggantikan Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA. Ini kenyataan yang amat dangkal, cetek fikiran dan pandir secara politik,” katanya.
Menurut Hasmuni, kepimpinan Asyraf turut memperkenalkan reformasi tatakelola dengan lebih tegas bagi memastikan peruntukan MARA disalurkan kepada golongan sasaran tanpa kebocoran.
Beliau mendakwa beberapa anak syarikat MARA yang sebelum ini berdepan masalah kewangan kini menunjukkan prestasi lebih baik selepas ditadbir secara profesional.
“Di bawah seliaannya, anak-anak syarikat MARA yang dahulunya mengalami kerugian tegar kini ditadbir secara profesional, membolehkan syarikat-syarikat ini mencatatkan keuntungan, mengurangkan liabiliti serta kembali memberikan pulangan modal yang kukuh,” katanya.
Hasmuni turut menyentuh pencapaian institusi pendidikan MARA, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), yang menurutnya terus memberi peluang pendidikan dan melahirkan graduan serta pelajar berprestasi tinggi.
Beliau pada masa sama mempersoalkan kesediaan PH mencadangkan calon pengganti sekiranya Asyraf benar-benar mahu ditukar.
“Jika PKR beria-ia mahukan jawatan Pengerusi MARA ini, tunjukkan calon pemimpin PH yang benar-benar layak dan berwibawa untuk memimpin institusi sebesar MARA.
“Adakah PH nak calonkan pemimpin besar seperti Sany Hamzan untuk mengambil alih dan menguruskan portfolio kewangan, pendidikan serta pembangunan perniagaan bilion ringgit MARA?” katanya.
Isu itu tercetus susulan gesaan supaya kepimpinan MARA dikaji semula, ketika kerajaan terus berdepan tuntutan supaya agensi berkaitan Bumiputera ditadbir dengan lebih berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat.
Hasmuni berkata, UMNO tidak gentar dengan desakan berkenaan dan yakin pengalaman serta rekod Asyraf dalam bidang kewangan dan pentadbiran masih diperlukan.
“Jika Asyraf dipecat sekalipun, institusi kewangan global sedia menantikan khidmat beliau,” katanya.
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
PAS tak perlu diuji, Sanusi bidas cadangan UMNO supaya lepaskan kerusi
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
Jangan jadi ‘imigresen’ syurga, Islam bukan milik PAS: Amanah Selangor
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum