Siasatan RCI Tabung Haji dibuat tanpa kompromi, selari titah Agong: Anwar

August 8, 2026 · Politik

Kerajaan akan menjalankan siasatan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi, termasuk terhadap pihak yang mempunyai kedudukan atau pangkat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya siasatan berhubung laporan berkenaan dilakukan sehingga ke akar umbi.

Beliau berkata, setiap syor dan penemuan dalam laporan RCI akan diteliti secara tuntas sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.

“Titah Baginda Tuanku agar siasatan berhubung RCI TH dilaksanakan secara menyeluruh adalah selari dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap syor dan dapatan disiasat secara tuntas tanpa sebarang kompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar menghadap Sultan Ibrahim dan mempersembahkan taklimat berkaitan laporan RCI TH selain perkembangan isu semasa termasuk berkaitan FELDA.

Menurut Anwar, TH menguruskan amanah yang terhasil daripada titik peluh jutaan rakyat, termasuk petani, penjawat awam serta golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menabung selama bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah haji.

Justeru, beliau menegaskan amanah itu tidak boleh dikhianati dan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kepercayaan rakyat perlu berdepan tindakan undang-undang.

“Sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut memaklumkan Sultan Ibrahim mengenai perkembangan berkaitan FELDA, termasuk kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang kini sedang diperhalusi kerajaan.

Beliau berkata, setiap penemuan akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang.

“Kerajaan Madani terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya.

Sultan Ibrahim sebelum ini menitahkan supaya siasatan terhadap Laporan RCI TH dijalankan sehingga “ke lubang cacing” bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

Baginda turut menegaskan siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Setakat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menahan tujuh individu termasuk bekas ketua pegawai eksekutif dan bekas ketua pegawai kewangan sebuah anak syarikat badan berkanun bagi membantu siasatan berkaitan laporan RCI TH.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula memulakan siasatan terhadap individu yang dikenal pasti berdasarkan analisis risiko percukaian susulan laporan berkenaan, termasuk dakwaan ketidakpadanan antara pemilikan aset dengan pendapatan yang dilaporkan.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman turut membuka lima kertas siasatan susulan sembilan laporan polis diterima berkaitan Laporan RCI TH.

Anwar turut menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara melalui penguatkuasaan, pemantauan berterusan serta kerjasama antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan dan menjaga kedaulatan negara.

Berita berkaitan
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
1 jam lalu· Isu semasa
Dedah semua, jangan pilih-pilih laporan RCI TH demi kepentingan politik: AMK
2 jam lalu· Politik
Jangan ulang RCI hanya kerana tak suka keputusan: Mahfuz
3 jam lalu· Politik
RCI Tabung Haji ditubuh ketika UMNO berkuasa, kenapa dipersoal sekarang? – Mahfuz
20 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Peja: Bersatu tak mampu bergerak solo di Melaka
1 jam lalu · Politik
Dua ADUN Bersatu sokong Wan Rosdy hingga PRN-16, parti beri restu
3 jam lalu · Politik
Bersatu Melaka terbuka kerjasama dengan PH hadapi PRN
21 jam lalu · Politik
PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN
23 jam lalu · Politik
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
August 24, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok