Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama penerima sumbangan semasa Program Tadabbur Perdana Peringkat Nasional dan Program Ma'idah Wanita MADANI Permatang Pauh di Masjid Muhajirin hari ini. Foto kredit: PMO
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM4.6 juta tahun ini bagi membaik pulih dan menaik taraf prasarana asas 27 institusi pendidikan Islam di seluruh Pulau Pinang.
Peruntukan itu lebih dua kali ganda berbanding RM2.11 juta yang disalurkan pada tahun lalu untuk kerja baik pulih membabitkan 11 institusi pendidikan Islam di negeri itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan berkenaan akan digunakan untuk pelbagai keperluan, termasuk menaik taraf madrasah, sekolah, bangunan tadika dan akademi tahfiz selain pembinaan tembok serta pagar.
“Tahun lalu di Pulau Pinang, kita tambah RM2 juta lebih. Tahun ini saya umumkan kita bagi RM4.6 juta untuk institusi agama rakyat.
“Untuk naik taraf, untuk tembok pagar, taraf madrasah, sekolah, bangunan baharu tadika, akademi tahfiz,” katanya ketika berucap pada Program Tadabbur Perdana Peringkat Nasional dan Program Ma’idah Wanita MADANI Permatang Pauh di Masjid Muhajirin hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan sekolah agama rakyat dan institusi pendidikan Islam bagi memastikan kemudahan pendidikan agama dapat diperkukuh.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan usaha memperkasakan pendidikan Islam perlu bergerak seiring perkembangan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajian al-Quran dan Islam.
Namun, katanya, penggunaan teknologi perlu disertai nilai murni dan kekuatan akhlak supaya kemajuan teknologi tidak dipisahkan daripada pembentukan sahsiah.
“AI mesti ada nilai. AI mesti teras kepada akhlak. Bukan AI untuk mencungkil bakat dan kefahaman tanpa akhlak dan nilai,” katanya.
Anwar turut mengajak masyarakat menggunakan ruang kebebasan yang ada untuk menganjurkan lebih banyak program keagamaan bagi meningkatkan kefahaman terhadap Islam.
Katanya, kegiatan seperti kelas al-Quran, tadabbur dan majlis ilmu perlu dilaksanakan secara berterusan supaya masyarakat dapat menghayati ajaran Islam secara lebih mendalam.
Peruntukan tambahan itu hadir ketika kerajaan terus memberi perhatian kepada pembangunan institusi pendidikan Islam, khususnya sekolah agama rakyat yang banyak bergantung kepada bantuan kerajaan dan sumbangan masyarakat bagi penyelenggaraan serta peningkatan kemudahan.
Program hari ini turut menyaksikan pelancaran Tadabur Mushaf Malaysia MADANI dan perasmian Ma’idah Wanita MADANI Peringkat Nasional.
Banjir Nepal: 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi
Scam: Cinta TikTok berakhir dengan kerugian RM112,500
MetMalaysia ramal ribut petir, hujan dan jerebu pada 31 Ogos: Bernama
Dua rakyat Malaysia di Nepal berjaya dikesan, 55 lagi masih gagal dihubungi
AUKU dimansuh, mahasiswa diberi ruang bersuara: Anwar
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri